Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 10 DIS – Sekolah Antarabangsa Brunei (ISB) sekali lagi telah menerima Anugerah Eco-Schools International Green Flag sekali gus menandakan mercu tanda utama dalam komitmen sekolah berkenaan ke arah kesedaran alam sekitar dan kemampanan.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh ISB, di sini, menyatakan bahawa sekolah berkenaan telah dianugerahkan Green Flag secara rasmi yang merupakan pengiktirafan global bagi sekolah-sekolah yang melaksanakan pendidikan bagi pembangunan mampan seterusnya meningkatkan prestasi kemampanan sekolah serta masyarakat meluas.
Yayasan Pendidikan Alam Sekitar (FEE) dalam penilaiannya menyatakan anugerah itu amat berpatutan dan mencerminkan kerja keras serta komitmen kuat ISB kepada kemampanan dan juga terhadap Program Eco-Schools.
Bagi menerima anugerah Green Flag di ISB berkenaan, satu sesi bergambar ramai telah diadakan baru-baru ini dengan disertai oleh Pengetua Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif ISB, Dominic Morley; Pengurus Besar ISB, Vienna Law; Penyelaras-Eco ISB, David Mark Adams dan Eco Warriors ISB iaitu kumpulan pelajar yang menerajui pelbagai inisiatif tumpuan alam sekitar.
David Mark Adams dipetik menyatakan bahawa telah banyak projek dan inisiatif berimpak dilaksanakan dalam misi mereka untuk menjadi sekolah yang mesra alam.
Tambahnya anugerah itu merupakan bukti dedikasi mereka kepada kemampanan di mana pencapaian berkenaan akan membakar semangat mereka untuk terus memberikan inspirasi serta mendidik generasi masa depan mengenai kesedaran alam sekitar.
Sementara Dominic Morley pula menyatakan dengan gembira bahawa anugerah Green Flag mencerminkan komitmen tidak berbelah-bahagi ISB kepada pendidikan dan kemampanan alam sekitar.
Beliau juga amat bangga amat kesan positif kepada alam sekitar serta pengiktirafan hijau yang sekian lama tertubuh dan turut menyatakan penghargaan kepada semua pelajar khususnya Eco Warriors, kakitangan dan ibu bapa yang menyumbang kepada pencapaian luar biasa berkenaan.
ISB pernah mencapai Anugerah Green Flag buat kali pertama pada 2012 menjadikannya sebagai sekolah pertama di Borneo untuk mencapai pengiktirafan berkenaan. Pencapaiannya sekali lagi pada 2024 adalah bertepatan dengan Ulang Tahun ISB Ke-60 yang menandakan 6 dekad kecemerlangan akademik inklusif.