Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    ISB tingkat kesedaran kanser, pengesanan awal

    Oleh Adib Noor – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 8 NOV – Dalam meningkatkan kesedaran mengenai kanser dan kepentingan pengesanan awal, Sekolah Antarabangsa Brunei (ISB) telah menganjurkan ceramah kesedaran kanser yang disampaikan oleh penceramah jemputan dari The Brunei Cancer Centre (TBCC) Pantai Jerudong Specialist Centre (PJSC), hari ini.

    Antara yang hadir ialah Pengetua Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif ISB, Dominic Morley; Ketua Pentadbiran dan Ketua Pegawai Kewangan ISB, Vienna Law, guru-guru IB serta pelajar Tahun 12 dan 13 IB termasuk anakanda Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah, Yang Teramat Mulia Pengiran Muda ‘Abdul Muntaqim.

    Berlangsung di Bilik Kerja International Baccalaureate (IB) ISB, taklimat disampaikan oleh Ketua Perkhidmatan Pengesanan Awal dan Pencegahan Kanser di PJSC, Datin Dr Hajah Noraslinah binti Haji Ramlee; Pakar Onkologi di PJSC, Dr Raden Mas Jeffri Raden Mas Ismail, dan Jururawat Kakitangan PJSC, Nacielle Garcia G Castardo.

    Dalam ceramahnya, Datin Dr Hajah Noraslinah menyentuh topik Kanser Wanita: Daripada Kesedaran kepada Tindakan, di mana beliau bercakap mengenai kanser payudara, kanser serviks serta beberapa kanser ginekologi seperti kanser ovari dan kanser rahim.

    “Saya sangat gembira kerana ISB telah menjemput kami. Adalah penting untuk meningkatkan kesedaran kerana kanser kini merupakan penyebab utama kematian di Brunei.

    YTM Pengiran Muda ‘Abdul Muntaqim antara yang hadir mendengarkan taklimat berkenaan. – GAMBAR OLEH ADIB NOOR
    Datin Dr Hajah Noraslinah semasa menyampaikan taklimat bertajuk Kanser Wanita: Daripada Kesedaran kepada Tindakan. – GAMBAR OLEH ADIB NOOR

    “Kami mahu orang ramai tahu bahawa terdapat program saringan kanser yang percuma dan dikendalikan oleh Kementerian Kesihatan,” kongsinya.

    Sementara itu, Dr Raden Mas Jeffri menyampaikan ceramah bertajuk Kanser Lazim dalam Kalangan Lelaki: Negara Brunei Darussalam, di mana beliau menekankan kepentingan memahami faktor risiko kanser dan kekal sihat dengan senaman yang betul, diet yang seimbang dan mengelakkan merokok.

    “Mengamalkan gaya hidup sihat sangat bermanfaat daripada segi kesihatan kardiovaskular, mental, fizikal dan ia juga mengurangkan risiko kanser.

    “Pastikan kekal sihat. Mulakan sekarang, bukan kemudian,” tekan beliau.

    Manakala itu, Nacielle Garcia membentangkan mengenai kanser payudara dan memberi tumpuan kepada pemeriksaan payudara sendiri.

    Selain pembentangan, acara itu juga menampilkan pameran di mana PJSC menyediakan pelbagai poster maklumat, risalah dan permainan interaktif.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda