KUALA TERENGGANU, 18 Julai – Persidangan dan Bengkel Antarabangsa Lebah Kelulut (ISBCW) 2017 yang sedang berlangsung di sini disasar akan menghasilkan satu prosedur operasi standard (SOP) lebih menyeluruh untuk industri ternakan lebah kelulut di negara ini.
Pengerusinya Datuk Dr Abdul Aziz Sheikh Abdul Kadir berkata SOP itu akan mencakupi semua aspek industri termasuk pembiakan lebah dan pengambilan madu.
“Ketika ini, sudah ada usaha beberapa agensi untuk menerbitkan buku panduan mengenai penternakan lebah kelulut namun kita memerlukan satu tatacara SOP yang lebih lengkap dan terbaik untuk memastikan lebih banyak pihak mendapat manfaatnya,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas menyampaikan ucapan di ISBCW 2017 yang dihadiri 200 peserta merangkumi usahawan, saintis, wakil jabatan dan agensi kerajaan serta pelajar universiti di sini hari ini.
Bertemakan ‘Memperkasakan Industri Lebah Kelulut Malaysia: Idea dan Perspektif Baru’, persidangan selama tiga hari itu turut membawa peserta melihat sendiri pusat penyelidikan integrasi kelulut dan getah Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di Tepoh, Kuala Nerus dan Pusat Resitori Kelulut Indo-Malaya di Taman Pertanian Sekayu di Hulu Terengganu. – Bernama