Sunday, March 16, 2025
27.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Isco bintangi malam Madrid

    MADRID, 2 Okt – Isco menjaringkan dua gol ketika Real Madrid mengurangkan jurang dengan tujuh mata dengan pendahulu La Liga, Barcelona, dengan kemenangan 2-0 ke atas Espanyol di hari di mana bola sepak diheret ke dalam pertembungan ganas politik di Catalonia.

    Terdahulu, Barca meneruskan permulaan sempurna mereka dalam La Liga kepada tujuh perlawanan selepas menewaskan Las Palmas 3-0 di dalam Camp Nou yang tertutup susulan tindakan keras polis ke atas undian kemerdekaan yang tidak sah bagi kerajaan Sepanyol.

    Sekurang-kurangnya 91 orang cedera ketika polis rusuhan Sepanyol menembak peluru getah dan merempuh stesen-stesen undian yang diadakan aktivis.

    Susulan keengganan La Liga untuk membatalkan perlawanan, Barca membuat keputusan untuk mengadakan perlawanan secara tertutup sebagai tanda bantahan.

    Ketegangan politik itu juga terjadi di Santiago Bernabeu di mana penyokong Real mengibarkan bendera Sepanyol dan menyanyikan ‘ Viva Espana’.

    Pemain Real, Isco mengawal bola dalam aksi La Liga menentang Espanyol di Santiago Bernabeu. – AFP

    Di atas padang di mana kurangnya konflik, Real meraih 11 kemenangan berturut-turut ke atas Espanyol, yang berpangkalan di Barcelona, bagi perlawanan liga di tempat sendiri musim ini.

    “Kami perlu bergembira. Perkara penting adalah tiga mata selepas tiga perlawanan tanpa kemenangan di sini,” kata jurulatih Madrid, Zinedine Zidane.

    Isco dinafikan gol pembukaan dala tempoh 30 saat oleh penjaga gol Espanyol, Pau Lopez.

    Tetapi pemain antarabangsa Sepanyol itu tidak membuat kesilapan apabila dia menyudahkan hantaran Cristiano Ronaldo pada minit ke-30.

    Dan kecuaian Espanyol membawa padah ketika perlawanan berbaki 19 minit apabila Isco membuat rembatan melencong bagi gol keduanya dalam satu serangan balas yang pantas. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda