MADRID, 29 Mac – Hero hatrik, Isco berkata dia sangat berpuas hati beraksi untuk Sepanyol apabila dia merasakan bahawa pengurus Real Madrid, Zinedine Zidane tidak menaruh kepercayaan kepadanya.
Sepanyol membelasah Argentina yang beraksi tanpa Lionel Messi dengan jaringan 6-1 dalam perlawanan persahabatan baru-baru ini yang menyaksikan Isco mencuri tumpuan selepas mencatat hatrik dalam aksi di Wanda Metropolitano.
Pemain berusia 25 tahun itu menjadi pemain utama di bahawa kendalian pengurus Julen Lopetegui dan dijangka akan membarisi pasukan utama dalam saingan Piala Dunia nanti bersama Diego Costa dan David Silva.
Tetapi Zidane tidak menaruh kepercayaan terhadap Isco di Real Madrid apabila pemain Sepanyol itu hanya memanaskan bangku simpanan berbanding Marco Asensio dan Lucas Vazquez.
“Lopetegui memberikan saya keyakinan dengan memberi peluang saya beraksi,” kata Isco.

“Apabila bersama Real Madrid, saya tidak mempunyai keyakinan yang diperlukan oleh seorang pemain mungkin masalah itu daripada saya dan saya tidak memberikan keyakinan kepada Zidane berbanding pemain hebat di sana.”
Isco menandatangani kontrak lima tahun bersama Real pada September tahun lepas tetapi beberapa kelab lain telah dikaitkan dengan Isco.
Gergasi Liga Perdana Inggeris, Manchester City dan Tottenham Hotspur dikhabarkan berminat untuk mendapatkan khidmat Isco.
“Apabila anda tidak beraksi sebagai pemain utama atau konsisten di kelab anda, beraksi bersama pasukan kebangsaan memberikan saya peluang,” kata Isco.
“Saya mempunyai keyakinan bersama kejurulatihan Sepanyol, saya sungguh teruja untuk bekerja, meningkatkan prestasi, menjadi pemain utama untuk kelab dan pasukan kebangsaan.
“Saya merasakan bahawa saya masih di peringkat permulaan dan saya mahu menunjukkan bahawa saya seorang pemain yang bagus.”
Isco meninggalkan stadium dengan membawa bola tetapi ia juga merupakan malam yang indah buat Diego Costa yang membantu Sepanyol menjaringkan gol pembukaan.
Costa diketepikan oleh Lopetegui apabila tidak aktif semasa proses perpindahan dari Chelsea ke Atletico Madrid tetapi Costa nampaknya berada di barisan depan mengatasi Rodrigo Moreno, Iago Aspas dan Alvaro Morata. – AFP