Friday, February 21, 2025
29.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    ISESCO, UTB teroka peluang kerjasama

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Julai – Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Islam (ISESCO) merupakan platform antarabangsa bagi komuniti Islam untuk mengukuhkan lagi kerjasama dalam bidang pendidikan, sains dan kebudayaan.

    Dalam hubungan itu, Universiti Teknologi Brunei (UTB) amat berminat untuk bekerjasama dengan ISESCO bagi kepentingan dan manfaat bersama khususnya dalam bidang pendidikan serta penyelidikan akademik.

    Perkara itu dinyatakan oleh Penolong Naib Canselor (Penyelidikan) UTB, Profesor Zuruzi bin Abu Samah dalam pertemuan bersama Ketua Pengarah ISESCO, Dr Abdulaziz Othman Altwaijri dalam lawatan kerja ke UTB, hari ini.

    Profesor Zuruzi juga mengalu-alukan kerjasama dengan ISESCO di mana pihak ISESCO amat berminat dalam penyelidikan yang dikendalikan oleh UTB dalam bidang tenaga yang boleh diperbaharui.

    Sementara itu, Dr Abdulaziz Othman dalam pertemuan itu amat gembira kerana berpeluang untuk melawat UTB yang menekankan perkembangan teknologi serta berharap akan dapat menjana hubungan kerjasama di antara ISESCO dan UTB.

    Profesor Zuruzi menyampaikan cenderahati kepada Dr Abdulaziz Othman Altwaijri dalam lawatannya ke UTB, kelmarin.
    Dr Abdulaziz Othman Altwaijri bergambar ramai bersama Profesor Zuruzi serta pegawai utama dan kakitangan akademik UTB selepas pertemuan yang diadakan di UTB.

    Beliau juga menyatakan harapan supaya UTB akan dapat menjadi ahli kepada Persekutuan Universiti-universiti Dunia Islam (FUIW) yang mempunyai lebih 300 buah universiti di seluruh dunia sebagai ahli kepada persekutuan itu termasuk dua buah universiti dari Negara Brunei Darussalam iaitu Universiti Brunei Darussalam (UBD) dan Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA).

    Lawatan Dr Abdulaziz Othman ke UTB dihasratkan untuk meneroka peluang kerjasama di antara kedua-dua belah pihak dalam bidang penyelidikan dan akademik.

    Semasa pertemuan yang diadakan, Dr Abdulaziz diberikan penerangan mengenai pelbagai program yang ditawarkan oleh UTB termasuk program ijazah dalam seni bina dan rekaan produk yang ditawarkan oleh Sekolah Reka Bentuk dan juga program sarjana dalam bidang Kejuruteraan Petroleum yang ditawarkan oleh Fakulti Kejuruteraan UTB.

    Dalam pertemuan itu juga, beliau turut diberikan penerangan oleh penyelidik-penyelidik UTB mengenai penyelidikan tenaga yang dijalankan oleh UTB termasuk mengenai usaha penyelidikan UTB dalam mengekstrak biofuel daripada biomass dan untuk mendapatkan nilai daripada bahan buangan kayu.

    Lawatan itu bermatlamat untuk mengukuhkan dan mempromosikan kerjasama di antara negara-negara anggota ISESCO termasuk Negara Brunei Darussalam dalam bidang penyelidikan pendidikan, sains, kebudayaan dan komunikasi.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda