TOKYO, 27 SEPT – Bekas Menteri Pertahanan Shigeru Ishiba bakal menjadi Perdana Menteri Jepun yang seterusnya selepas memenangi pemilihan presiden Parti Demokratik Liberal (LDP) yang memerintah dalam satu undian pemilihan semula hari ini, mengalahkan Menteri Keselamatan Ekonomi Sanae Takaichi, lapor agensi berita Kyodo.
Dalam percubaan presidennya yang kelima, Ishiba memperoleh 215 daripada 414 undi yang dipilih oleh ahli parlimen LDP dan ahli biasa, manakala Takaichi menerima 194 undi, lapor agensi berita Kyodo.
Ishiba, yang berusia 67 tahun, dijangka akan dinamakan sebagai perdana menteri di parlimen pada Selasa depan, dan ini menimbulkan pertanyaan bila beliau akan mengadakan pilihan raya umum dengan membubarkan Dewan Rakyat yang berkuasa.
Pemimpin baharu itu menghadapi cabaran untuk merombak parti yang terkesan oleh skandal dana haram dan memulihkan kepercayaan pengundi menjelang pilihan raya umum.
Kemahiran kepimpinannya akan diuji kerana pertumbuhan ekonomi masih goyah dalam konteks kenaikan kos yang membebankan isi rumah, sementara tindakan provokatif dari China, Korea Utara dan Rusia terus mengancam keselamatan Jepun.
Ishiba dikenali sebagai pakar polisi yang mahir dalam pertahanan dan pemulihan wilayah, popular dalam kalangan penyokong tempatan tetapi bergelut untuk memperluas sokongan dalam kalangan ahli parlimen parti, satu daripada sebab utama kegagalannya dalam empat percubaan presiden sebelum ini. – Bernama