TOKYO, 30 MEI – Perdana Menteri Jepun, Shigeru Ishiba kelmarin bertekad untuk mempertahankan sistem perdagangan pelbagai hala, bebas dan berasaskan peraturan serta berusaha untuk mengembangkan lagi kumpulan perdagangan utama Asia-Pasifik ketika ketegangan berkaitan tarif Amerika Syarikat (AS) yang semakin memuncak.
“Tarif yang tinggi tidak akan membawa kemakmuran ekonomi,” kata Ishiba dalam satu forum global di Tokyo.
Tambahnya, “Kemakmuran yang dibina atas pengorbanan oleh seseorang atau negara lain tidak akan membentuk ekonomi yang kukuh.”
Jepun mahu bekerjasama dengan AS dalam pelaburan, penciptaan pekerjaan dan pengeluaran produk berkualiti tinggi demi kemakmuran Amerika dan dunia.
Kenyataan itu keluar ketika ketua perunding tarif Jepun, Ryosei Akazawa, berada di Washington, D.C., untuk pusingan keempat rundingan bagi memujuk AS menarik balik langkah tarif terbaharu.

Setakat ini, Jepun belum berjaya mendapatkan konsesi daripada AS dan dilaporkan sedang mempertimbangkan pembelian lebih banyak produk pertanian dan peralatan pertahanan daripada AS sebagai alat rundingan.
Pada hari yang sama, Ishiba turut menghubungi Presiden AS, Donald Trump, bagi menyelaraskan pendirian menjelang rundingan tersebut.
Kedua-dua pemimpin kini mempunyai ‘pemahaman yang lebih mendalam antara satu sama lain,’ kata Ishiba kepada wartawan, walaupun pendirian Jepun mengenai tarif tidak berubah dan beliau enggan mengulasnya lebih lanjut.
Akazawa memberitahu wartawan pembelian peralatan pertahanan mungkin ‘dibincangkan’ dalam rundingan itu kerana pembelian Jepun akan menyumbang kepada lebihan dagangan AS.
Namun, beliau menegaskan dasar keselamatan Jepun bukan sesuatu yang boleh ‘diperdagangkan’ dengan negara lain.
Meskipun Tokyo semakin mengukuhkan hubungan ekonomi dengan Asia Tenggara dan Eropah, Jepun tetap menganggap AS sebagai rakan utama dalam dasar keselamatannya. – AP

