Monday, November 18, 2024
32.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ishiba berkata tidak akan bertemu Trump

    TOKYO, 17 NOV – Perdana Menteri Jepun, Shigeru Ishiba berkata kelmarin beliau tidak akan mengadakan pertemuan secara peribadi dengan Presiden terpilih Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dalam perjalanan pulang ke Jepun dari Amerika Selatan, walaupun beliau berhasrat untuk berbuat demikian, lapor Agensi Berita Kyodo.

    Bercakap kepada wartawan di Lima, Peru, Ishiba berkata pasukan Trump menjelaskan bahawa presiden terpilih, yang telah menerima banyak permintaan untuk pertemuan daripada pemimpin dunia, tidak boleh mengadakan perbincangan dengan mereka sebelum memegang jawatan kerana kekangan undang-undang.

    Ishiba berkata, “Saya berharap dapat mengadakan perbincangan dengannya pada masa yang paling sesuai dan seawal mungkin untuk kedua-dua pihak,” menzahirkan hasrat untuk mengatur pertemuan sejurus selepas pelantikan Trump pada Januari nanti.

    Semasa panggilan telefon pada awal November, Ishiba dan Trump bersetuju untuk memperkukuh kerjasama dalam mempertingkatkan hubungan dua hala, dengan perdana menteri memberitahu wartawan bahawa dia ‘mendapat tanggapan’ presiden terpilih itu ‘mesra’ dan ‘boleh berbincang dengan jujur’.

    Ishiba, yang dalam lawatan lapan hari untuk sidang kemuncak forum Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di Peru dan Kumpulan 20 (G20) di Brazil, telah mempertimbangkan kemungkinan untuk berhenti di AS selepas itu untuk bertemu dengan Trump.

    Di tengah-tengah cabaran seperti ketegasan ketenteraan China yang semakin meningkat dan program pembangunan nuklear dan peluru berpandu Korea Utara, Ishiba telah menekankan bahawa pakatan Jepun-AS adalah ‘keutamaan utama’ bagi dasar luar dan keselamatan negaranya.

    Pada Jumaat di Lima, beliau mengadakan pertemuan ringkas dengan Presiden AS Joe Biden dan memuji pakatan itu sebagai lebih kukuh berbanding sebelumnya. – Bernama

    Perdana Menteri Jepun Shigeru Ishiba tiba untuk pertemuan dengan ahli komuniti Peru-Jepun di Persatuan Jepun Peru (APJ) di Lima, kelmarin. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda