Friday, May 2, 2025
26.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Isi masa lapang dengan aktiviti bermanfaat

    Oleh Nurdiyanah R.

    Kehidupan ini ibarat sungai yang mengalir. Apabila kita menyentuh airnya pasti kita tidak akan dapat menyentuh air yang sama kerana yang telah mengalir tidak akan berpatah balik.

    Begitulah juga yang menggambarkan betapa berharganya nilai masa itu. Setiap waktu yang berlalu pasti tidak akan berulang kembali walau sesaat. Ia akan terus bergerak tanpa henti mengelilingi kehidupan kita di alam fana ini.

    Alangkah indahnya sesebuah kehidupan itu jika ia dihiasi dengan perkara-perkara yang bermanfaat, di mana seseorang itu mampu untuk menjalankan tanggungjawab dengan bijak dalam mengisi atau menggalakkan masa lapang dengan pelbagai kegiatan yang berkualiti baik bagi kehidupan secara menyeluruh.

    Hal ini amat penting untuk dititikberatkan agar pengetahuan dan kemahiran diri semakin meningkat secara progresif dari segi mental dan juga fizikal.

    Amalan 3M cetus produktiviti insan

    Dalam mengisi masa lapang sebaik-baiknya, ibu bapa mempunyai peranan yang besar dalam mengatur dan merancang aktiviti bersama anak-anak dengan bijak. Anak-anak perlu dididik dengan suatu pemikiran bahawa masa yang terluang bukanlah bermaksud hanya menikmati keseronokan semata-mata tanpa adanya pengisian ilmu pengetahuan yang berguna.

    Acara riadah mampu mewujudkan persekitaran yang positif dan gembira sekali gus menjamin masa hadapan yang lebih sihat dan bahagia.
    Aktiviti melancong berkonsepkan Kenali Negara Kitani (KNK) juga menjadi salah satu pilihan yang begitu sesuai untuk semua lapisan masyarakat.
    Ibu bapa mempunyai peranan yang besar dalam mengatur dan merancang aktiviti bersama anak-anak dengan bijak agar mereka dapat mengisi masa lapang sebaik-baiknya.

    Dengan kata lain, buku dan amalan mengulang kaji pelajaran juga turut bercuti. Bahkan alangkah baiknya jika mereka sentiasa membekalkan diri dengan pelbagai kegiatan-kegiatan yang boleh meningkatkan prestasi diri meliputi untuk perkembangan minda dan kemahiran. Salah satunya ialah dengan menerapkan amalan 3M iaitu membaca, menulis dan mewarna sama ada semasa di rumah mahu pun mengikuti aktiviti di luar seperti perpustakaan.

    Beriadah demi gaya hidup sihat

    Keluarga yang sihat merupakan tonggak penting dalam melahirkan individu dan masyarakat yang sejahtera juga meliputi mental dan fizikal.

    Bagi mencapai kesejahteraan keluarga, kesihatan dalaman dan luaran adalah penting bagi membolehkan seseorang individu melaksanakan aktiviti harian dengan baik.

    Oleh yang demikian, setiap ahli keluarga termasuklah insan-insan tersayang di sekeliling kita seharusnya dilibatkan dengan suasana dan persekitaran yang positif dan gembira serta sekali gus menjamin masa hadapan yang lebih sihat dan bahagia dalam mengisi masa lapang seperti melalui acara riadah seperti sukan ria bersama ahli keluarga dan juga aktiviti mendaki bukit.

    Bersantai dengan KNK

    Selain itu, aktiviti melancong berkonsepkan Kenali Negara Kitani (KNK) juga menjadi salah satu pilihan yang begitu sesuai untuk semua lapisan masyarakat selain dari dapat bersantai seketika melepaskan kesibukan harian, namun pencambahan pengalaman dan ilmu juga diperoleh meliputi keindahan warisan budaya pelbagai puak Melayu, tempat-tempat menarik dan juga pelbagai keunikan perekonomian masyarakat setempat.

    Dengan adanya variasi aktiviti penuh bermakna sebegini sememangnya suatu langkah yang sangat baik dalam menerapkan amalan gaya hidup sihat dalam menjalani kehidupan sehari-hari demi mewujudkan persefahaman dan kasih sayang sehingga mampu mewujudkan sifat hormat-menghormati, tolong-menolong, bertolak-ansur sekali gus melahirkan semangat kepimpinan, kerjasama dan tanggungjawab dalam kehidupan berkeluarga dan juga bermasyarakat.

    Oleh yang demikian, marilah kita sama-sama mendidik diri agar sentiasa memanfaatkan rezeki masa yang dimiliki dengan sebaik-baiknya.

    Semailah dalam peribadi untuk sentiasa bergerak proaktif dari semasa ke semasa sehingga mampu mendidik dan memperkasa amalan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat agar bersama-sama melakukan aktiviti-aktiviti positif.

    Begitu juga dengan menjauhi diri dari pelbagai kegiatan yang tidak bermoral yang mana sekali gus mendidik kita agar tidak terbuai dengan penggunaan media sosial secara berlebihan dalam meniti kehidupan sehari-hari.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda