Oleh Nurdiyanah R.
Dalam meniti kehidupan seharian, dugaan dan cabaran datang silih berganti. Tekanan di tempat kerja, persengketaan dalam perhubungan serta gangguan daripada persekitaran mampu memberi impak kepada ketidaktenteraman hati.
Ketenangan dalam hidup tidak akan datang dengan sendirinya jika bukan kita yang mencarinya. Salah satu caranya adalah menerusi hobi. Bagaikan penyeri sebuah kehidupan, setiap orang pasti mempunyai hobi yang dilakukan pada waktu senggang.
Walau apa jua hobi yang dilakukan, pastinya ia berlandaskan minat yang lahir dari dalam diri seseorang. Barulah timbulnya bibit-bibit kepuasan dan keseronokan sehingga mampu merehatkan diri sejenak dengan pelbagai kesibukan harian.
MEKARNYA MENCORET CAHAYA KETENANGAN
Merasa detik-detik kedamaian dan ketenangan hanya dengan melihat keindahan tumbuh-tumbuhan yang segar dan mekar lebih-lebih lagi ketika jiwa dan raga terasa letih, itulah yang dapat dinikmati insan-insan pencinta bunga sebagai hobi dalam meniti kehidupan sehari-hari.
Tanpa mengira waktu pagi atau petang, seperti menjaga naluri hati daripada segala keburukan, samalah juga segala jenis bunga-bungaan perlu dijaga dengan penuh kasih sayang. Indah bentuk dan coraknya mampu mencoret cahaya ketenangan dan kegembiraan di hati ini.
Begitu juga hakikat bunga-bungaan seperti orkid, mawar, kaktus, sukulen dan sebagainya di halaman rumah, apabila dibelai dengan penuh kasih sayang, ia akan mekar dengan cantik dan ceria. Jikalau tidak, maka layulah bunga-bungaan itu dan rosaklah sebuah cinta sejati padanya.
BERSATU BERSAMA KHAZANAH ALAM
Sesetengah orang menganggap aktiviti lasak seperti mendaki bukit sebagai satu hobi bersama keluarga, saudara mara serta sahabat handai. Ia merupakan satu aktiviti yang bukan sahaja memberikan keseronokan tetapi juga memupuk amalan gaya hidup sihat.
Meskipun dibasahi titisan peluh di bawah pancaran terik matahari, berbekalkan rasa keghairahan di jiwa, insan bergelar pendaki sentiasa yakin meneruskan langkah meniti jalan-jalan berliku.
Kepenatan pasti terasa dan kadangkala timbul juga rasa putus asa dalam diri, namun mereka tetap bertahan dan berjuang demi satu matlamat dalam mengamalkan gaya kehidupan yang sihat.
Pastinya, keseronokan dan kepuasan ini tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata selepas berjaya menjejaki, mendaki dan merentasi laluan sukar yang memiliki pemandangan indah ciptaan Allah SWT dengan khazanah kehijauan alam semula jadi yang begitu menakjubkan dari puncaknya.
Lebih-lebih lagi dengan adanya keindahan panorama air terjun yang sungguh mempesona yang apabila dinikmati seketika deruan aliran air yang dingin itu mampu memberikan kesegaran diri.
JIWA BASIKAL FIXIE
Bagi penggemar hobi basikal fixie, pastinya apabila menyaksikan setiap gaya rekaan sentuhan basikal yang ringkas dan elegan serta dihiasi dengan keindahan warna yang begitu fancy itu mampu memukau mata seseorang bagai jatuh cinta pandang pertama sehingga memberi kepuasan jika memilikinya.
Mula diperkenalkan pada tahun 1950an, kebiasaannya jenis basikal ini lebih digemari dalam kalangan generasi muda ketika bersantai bersama-sama. Ia sudah menjadi trend bukan sahaja di negara ini bahkan juga meliputi masyarakat di arena antarabangsa.
Fixie merupakan istilah yang berasal daripada perkataan fixed-gear kerana basikal ini tidak mempunyai freewheel. Ia agak berbeza daripada basikal biasa, di mana penunggang basikal fixie boleh melakukan aksi wheelie berterusan kerana gear basikal tersebut bersambung dengan tayar belakang. Basikal fixie juga tidak mempunyai brek dan untuk memberhentikan basikal ini haruslah menggunakan kaki bahkan ia perlu dikayuh secara mengundur ke belakang.
Manakala untuk memberhentikan basikal fixie, penunggang harus menggunakan tenaga yang kuat untuk menghalang pengayuh daripada berpusing dan menyebabkan basikal itu menggelongsor. Perbuatan ini dipanggil sebagai skidding.
Dalam pada itu, seperti basikal BMX, fixie juga mempunyai kemahiran atau trick yang tersendiri yang boleh dilakukan oleh penunggang yang mahir yang mana ia sememangnya mempunyai kebaikan tertentu terutamanya bagi melatih otot kaki. Ini kerana para penunggang basikal fixie tidak dibenarkan untuk coasting. Hal ini berbeza dengan penunggang basikal biasa, di mana mereka akan merehatkan kaki dengan memberhentikan kayuhan ketika basikal masih berjalan.
Oleh itu, dengan adanya aktiviti sebegini, ia sememangnya sesuatu kegiatan yang amat positif diketengahkan kepada semua lapisan masyarakat terutama golongan muda demi menerapkan nilai disiplin yang tinggi dalam diri mereka selain mencungkil bakat kreativiti masing-masing dalam mereka bentuk warna basikal fixie masing-masing.
PERLUNYA KESEIMBANGAN HIDUP
Hobi seseorang itu biasanya bermula daripada suka-suka hingga menjadi passion. Ada yang gemar mencurahkan ekspresi diri menerusi seni lukisan malah dalam seni hiburan seperti nyanyian dan bermain alat muzik.
Benar tiada kehidupan yang sempurna kerana lumrah manusia memiliki pasang surut dalam melayari bahtera kehidupan. Namun hakikatnya, apa yang kita perlukan dalam kehidupan adalah keseimbangan hidup.