Monday, May 12, 2025
27.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    ‘Isi Selamat, Rasa Selamat’

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 OKT – Statistik menunjukkan sejumlah pelanggan stesen-stesen minyak di negara ini tidak mematuhi arahan-arahan yang telah tertera di papan-papan tanda di stesen-stesen minyak.

    Terdapat pelanggan yang kurang berwaspada ketika proses pengisian minyak di stesen-stesen minyak dan baru-baru ini, telah terjadi satu insiden di mana seorang pekerja stesen minyak telah mengalami kecederaan terkena muncung pam yang tercabut.

    Pekerja yang cedera berkenaan telah pulih dan mula bekerja seperti biasa, jelas Pengarah Urusan BSM, Awang Muhammad Norshafiee bin Dato Paduka Haji Abdul Jalil ketika berucap di Jerayawara Kempen Isi Selamat, Rasa Selamat, yang berlangsung di Stesen Minyak Ikatan Teluk Mewa (ITM), Mentiri, hari ini.

    Hadir semasa pelancaran jerayawara berkenaan ialah Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Dato Seri Setia Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohammad Yusof; Setiausaha Tetap (Tenaga) di Kementerian Tenaga (Tenaga dan Tenaga Manusia) dan Perindustrian (MEMI), Haji Azhar bin Haji Yahya; Timbalan Setiausaha Tetap (Korporat dan Perindustrian) di MEMI, Hajah Tutiaty binti Haji Abdul Wahab; para pegawai kanan kerajaan, pegawai dan kakitangan BSM serta jemputan khas. Awang Muhammad Norshafiee dalam ucapannya berkata, “Kejadian seperti ini menjadi satu peringatan kepada semua pihak terutama sekali buat atendan-atendan pam khasnya dan pekerja-pekerja stesen minyak amnya untuk sentiasa memberi perhatian dalam pekerjaan mereka demi keselamatan bersama.”

    Beliau turut berkata bahawa insiden seperti itu juga mengingatkan kita akan pentingnya kerjasama di antara pelanggan dengan atendan pam sewaktu pengisian minyak berlangsung di stesen minyak.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Abdul Mutalib semasa mengagihkan risalah jerayawara kepada pemandu yang mengisi minyak di Stesen Minyak Ikatan Teluk Mewa (ITM), kelmarin.
    Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi ketika menerima poster Kempen Isi Selamat, Rasa Selamat daripada Awang Muhammad Norshafiee.

    Pelanggan-pelanggan disarankan supaya sentiasa memberi perhatian dan mengikut arahan yang diberikan oleh atendan pam yang bertugas pada ketika itu.

    Kempen itu, jelasnya, berobjektif utama untuk mewujudkan budaya di mana semua pelanggan dan orang ramai menyedari akan peraturan di stesen minyak dan sentiasa bekerjasama secara sukarela dengan disokong oleh atendan pam untuk mengambil tahu dan seterusnya mengambil langkah-langkah tertentu jika terdapat perkara yang tidak selamat berlaku di stesen minyak.

    Awang Muhammad Norshafiee menyatakan lagi kempen itu akan dilanjutkan kepada semua stesen minyak yang lain hingga akhir 2019 untuk menyebarkan mesej keselamatan itu.
    “Pada masa yang sama, inisiatif seperti ini akan memberi kefahaman tentang cabaran-cabaran yang dihadapi oleh semua pihak, oleh itu, kita ingin menganjurkan amalan budaya dalam perbualan tentang keselamatan dan kerjasama atau kerja berpasukan.”

    Beliau menyatakan harapan supaya mereka akan sama-sama berusaha mencapai satu budaya kerja yang selamat di stesen-stesen minyak dengan semua pihak mematuhi peraturan stesen untuk mencapai ruang bebas insiden atau Goal Zero.

    Semasa kempen berkenaan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Abdul Mutalib serta para jemputan khas menyampaikan risalah keselamatan dan penerangan mengenai kempen berkenaan kepada para pelanggan di stesen minyak berkenaan.

    Bagi Daerah Tutong, kempen diadakan di Stesen Minyak KOPEKLAP di Lubok Pulau telah dihadiri oleh Pegawai Daerah Tutong, Awang Shamsul Bahrin bin Haji Mohd Hussain.

     

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda