Sabtu, 22 November 2025
23.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Isi rumah terus bimbang terhadap harga barangan dapur

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 6 OGOS- Ramai isi rumah terus meluahkan kebimbangan terhadap harga barangan dapur, walaupun kadar inflasi keseluruhan telah menurun dan mencatatkan kadar negatif.

    Kenaikan harga bagi beberapa barangan makanan asas yang kebanyakannya di import masih tinggi dan dirasai oleh isi rumah di seluruh negara.

    Ke arah untuk memahami isu tersebut dengan lebih jelas, Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES) dalam siaran akhbar telah mengongsikan beberapa perkara yang antaranya, mengenai apa yang sedang berlaku, apa yang telah dilakukan, dan apakah kesannya kepada pengguna serta perniagaan.

    Inflasi menunjukkan sejauh mana harga berubah berbanding tempoh sebelumnya, contohnya dari tahun ke tahun atau bulan ke bulan, di mana inflasi diukur berdasarkan satu bakul barangan dan perkhidmatan yang lazimnya dibeli oleh isi rumah.

    Bakul ini ditentukan berdasarkan kajian perbelanjaan keluarga yang bertujuan untuk mencerminkan corak perbelanjaan umum penduduk.

    Kadar inflasi negatif bermaksud harga keseluruhan menurun berbanding tahun sebelumnya, tetapi ini tidak bermaksud harga telah kembali ke paras sebelum COVID.

    JPES turut mengongsikan data terkini yang membandingkan harga purata bulan Jun lepas berbanding sebelum COVID pada tahun 2019 yang menunjukkan peningkatan ketara bagi pelbagai barangan makanan asas.

    Antara catatan peningkatan ketara seperti daging cincang beku, daging kambing segar, lada merah, tomato dan juga minyak masak.

    Kenaikan harga ini berpunca daripada faktor global seperti gangguan rantaian bekalan, kesan perubahan iklim dan ketegangan geopolitik serta faktor tempatan seperti kos pengeluaran dan pengeluaran skala kecil.

    Walaupun kenaikan harga tidak secepat tempoh sejurus selepas COVID, harga pada masa ini masih jauh lebih tinggi berbanding tahun 2019.

    Namun begitu, Brunei dapat menangani tekanan tersebut dengan lebih baik berbanding dengan beberapa negara serantau yang lain memandangkan kenaikan harga adalah pada relatif sederhana dan barangan keperluan kekal mampu milik hasil daripada beberapa inisiatif kerajaan yang disasarkan.

    Terdapat beberapa langkah yang boleh diambil yang antaranya dengan menangani kenaikan harga makanan memerlukan pelbagai pendekatan.

    Antara usaha yang telah dilaksanakan dan langkah-langkah yang boleh diteruskan ialah dengan meningkatkan pengeluaran tempatan yang turut dapat menjamin sekuriti makanan negara.

    Namun begitu, pengeluaran tempatan tidak semestinya dapat menurunkan harga dengan ketara kerana ia masih berskala kecil dan melibatkan kos yang tinggi, dan secara amnya, pengeluaran tempatan lebih bertujuan untuk menjamin bekalan daripada mengurangkan harga.

    Selain itu, kerajaan secara aktif melindungi pengguna melalui beberapa langkah yang antaranya pemantauan harga secara mingguan serta penyiaran harga barangan makanan asas bagi mengekalkan ketelusan dan mencegah amalan mengambil untung secara berlebihan, sambil membolehkan pasaran berfungsi secara adil.

    Pelaksanaan kawalan harga yang dikendalikan dengan pertimbangan yang teliti bagi mengelakkan gangguan terhadap pasaran.

    Pemberian subsidi menyeluruh bagi meringankan kos sara hidup, terutamanya bagi bahan api, utiliti dan beras, yang telah membantu mengekalkan kadar inflasi negara antara yang terendah di rantau ini. 

    Pendekatan negara merangkumi pemantauan harga, subsidi serta pengawasan pasaran bagi melindungi kepentingan semua pengguna, serta memastikan kesan kenaikan harga global dapat ditangani secara berhemah di peringkat domestik.

    Di samping itu, menangani punca-punca utama bagi mengekalkan kestabilan harga dalam jangka panjang, punca-punca utama kenaikan harga perlu ditangani.

    Antara tindakan yang boleh diambil oleh pihak perniagaan termasuk mempelbagaikan sumber import bagi mengurangkan kebergantungan kepada satu negara atau pembekal.

    Selain memperkukuh rantaian bekalan serantau bagi meningkatkan daya tahan bekalan, dan memanfaatkan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) serta kerjasama dua hala bagi mendapatkan bekalan yang lebih stabil dan berdaya saing.

    Walaupun kenaikan harga makanan mencerminkan cabaran global dan domestik, langkah proaktif sedang diambil untuk melindungi pengguna dan menjamin kestabilan bekalan.

    Kadar inflasi negara kekal sederhana berbanding negara-negara serantau hasil daripada dasar yang menggabungkan ketelusan, pemantauan harga, subsidi dan kepelbagaian sumber.

    Memahami perbezaan antara inflasi negatif dan penurunan harga membantu untuk memahami laporan berita dengan lebih tepat.

    Manakala kesedaran terhadap kerumitan pasaran makanan menekankan keperluan pendekatan yang merangkumi strategi jangka pendek dan panjang.

    Dengan kerjasama antara kerajaan, sektor perniagaan dan pengguna, tempoh mencabar ini boleh dilalui dan sistem makanan yang lebih berdaya tahan boleh dibina untuk masa hadapan.

    Indeks Harga Pengguna Jun 2025.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda