KUALA LUMPUR, 22 Feb – Pemain perseorangan lelaki Malaysia, Iskandar Zulkarnain Zainuddin mengetuai kemaraan pemain Malaysia ke pusingan kedua Kejohanan Badminton Terbuka Swiss di Basel, Switzerland pada hari ini.
Iskandar yang mara daripada pusingan kelayakan, terpaksa bekerja keras sebelum mengatasi pemain bukan pilihan Finland, Heino Eetu, dengan 21-23, 21-14 dan 21-10 dalam pusingan pembukaan kejohanan yang diadakan di St Jakobshalle Arena, menurut laman sesawang Persekutuan Badminton Dunia (BWF), www.bwfbadminton.com.
Iskandar dijangka bertemu pemain Denmark, Jan O Jorgensen dalam pusingan kedua, pada Khamis selepas bekas pemain nombor empat dunia itu mengejutkan pemain pilihan kelapan Malaysia, Lee Zii Jia, 21-15 dan 21-14 dalam satu lagi pertemuan pusingan pertama.
Soong Joo Ven juga berjaya ke pusingan kedua setelah menewaskan Adulrach Namkul dari Thailand dengan mata 24-22 dan 21-19.
Pasangan beregu lelaki Malaysia, Aaron Chia-Soh Wooi Yil turut melangkah ke pusingan kedua selepas mencatat kemenangan 16-21, 21-19 dan 21-7 dalam perlawanan menentang pasangan Titon Gustaman-Stilian Makarski (Indonesia / Bulgaria).
Bagaimanapun rakan sepasukan mereka, Shia Chun Kang-Tan Wee Gieen, tersingkir daripada kejohanan itu selepas kalah 9-21 dan 19-21 kepada pilihan utama, Mathias Boe-Carsten Mogensen dari Denmark.
Harapan Malaysia dalam beregu campuran luntur selepas dua pasangan, Hoo Pang Ron-Peck Yen Wei dan Chen Tang Jie-Cheah Yee See ditewaskan lawan masing-masing dalam pusingan pembukaan pada Selasa.
Malaysia tidak menghantar sebarang wakil perseorangan dan beregu wanita dalam kejohanan merebut AS$150,000 (RM586,313) itu. – Bernama