Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 10 JULAI – Mengapakah pentadbiran Islam dianggap cabaran untuk semua?
Ia kerana pentadbiran Islam itu sedang kita dapati seperti sudah tidak bertenaga lagi kerana diasak oleh pentadbiran bukan Islam. Inilah makanya ia patut diberi perhatian.
Pentadbiran Islam ialah mengelola atau mengurus negara atau kerajaan dengan cara Islam yakni dengan cara yang dikehendaki oleh Islam. Jika cara ini dapat dipenuhi, maka itulah pentadbiran Islam.
Perkara tersebut dijelaskan oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned, ketika membentangkan kertas kerja melalui rakaman video bertajuk Pentadbiran Islam Cabaran untuk Semua pada Seminar Antarabangsa MBI Kelantan 2024 (KelMIC24) yang berlangsung di Hotel Grand Riverview, Kelantan, Malaysia, baru-baru ini.
Maksud cara yang dikehendaki oleh Islam itu, tambah Yang Berhormat Pehin adalah meliputi perkara-perkara wajib atau fardu, sunat dan harus.


Sebagai contoh, tambahnya, perkara wajib atau fardu itu seperti belajar agama iaitu akta atau undang-undang memperuntukkan kanak-kanak mesti bersekolah agama.
PENTADBIRAN ISLAM, ERA MODEN
Di Negara Brunei Darussalam, di bawah Akta Perintah Pendidikan Ugama Wajib, kanak-kanak yang berumur enam tahun ke atas yang belum baligh dimestikan untuk bersekolah agama, wajib bagi mendapat pendidikan agama, supaya semua kanak-kanak di Brunei pandai sembahyang dan pandai membaca Al-Quran.
“Ini kerana hukum membaca Al-Quran adalah fardu ain, seperti juga hukum sembahyang, dan jika tidak pandai membaca Al-Quran, bagaimana boleh untuk mendirikan sembahyang?” tegasnya.
“Inilah satu contoh mudah pentadbiran Islam, di mana dalam era moden, orang jarang menyedari perkara ini, berbanding mata lebih terbuka kepada pentadbiran ala barat yang tidak menitik beratkan agama.
“Pentadbiran agama dianggap membebankan atau tidak mempunyai nilai ekonomi,” katanya.
Tambahnya ini berlaku dalam era baharu, sehingga kadang-kadang kita terkejut apabila keluar satu statistik mendedahkan ramai di sekolah atau di pusat pengajian, penuntut atau pelajar yang tidak pandai sembahyang, dalam makna tidak pandai juga membaca Al-Quran.
CABARAN DALAM PENTADBIRAN ISLAM
Menurut Yang Berhormat Pehin, pentadbiran Islam itu perlu dilihat sebagai cabaran untuk semua. Kita mahu, pentadbiran biarlah benar-benar Islamik, kerana dengan pentadbiran Islam sahaja boleh menjanjikan kebahagiaan di dunia dan di akhirat.
Kerana itu, tegasnya kita mesti berani membuat perubahan, dan kita betulkan hukum untuk meraih keredaan Allah.
Kita bersihkan negara dengan pentadbiran Islam, pentadbiran yang berpaksikan iman dan takwa.
“Ini jika berlaku, maka Allah berjanji akan menurunkan dan mengeluarkan berkat dari langit dan bumi,” tambahnya.
Tidakkah ini prasyarat jelas, jika kita mentadbir, maka pentadbiran itu dikehendaki berpaksikan iman dan takwa, maka barulah dapat diharapkan akan menghasilkan keberkatan yang dijanjikan.
“Jika pentadbiran masih mengiktiraf dan membenarkan perkara-perkara yang bertenta-ngan dengan hukum syarak dan undang-undang, maka itu, bukan namanya pentadbiran Islam, dan wajar bagi pihak berkenaan menyifatkannya sebagai satu cabaran untuk dibetulkan.
“Di sinilah, baru akan diketahui sama ada pemimpin yang ampunya pentadbiran itu seorang yang berkarisma ataupun tidak, yang mampu ataupun tidak untuk melakukan perubahan-perubahan sukar demi Islam,” tegasnya.
12 KERTAS KERJA MERIAHKAN KEIMIC24
KelMIC24 menampilkan 12 pembentang kertas kerja menggunakan bahasa pengantaraan Melayu, Inggeris dan Arab.
Selain Yang Berhormat Pehin, antara sarjana yang turut menyampaikan kertas kerja ialah Profesor Dr Salim Tomothy P Daniels dari Universiti Hafstra, Hempstead, New York; Profesor Madya Dr Abdullah Sani Usman dari Ar-Raniry State Islamic Universiti Darussalam, Banda Aceh, Indonesia dan beberapa ahli akademik dari Malaysia dan Singapura.
Seminar dirasmikan oleh Menteri Besar Kelantan, Tuan Yang Terutama Panglima Perang Ustaz Dato Mohd Nassuruddin Daud.

