Sunday, December 22, 2024
26.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    ‘Islamofobia didorong oleh politik, bukan agama’

    WASHINGTON, 3 Mei – Islamofobia di Amerika Syarikat bukan berakar umbi disebabkan pertembungan kepercayaan agama sebaliknya didorong oleh politik, lapor agensi berita Turki Anadolu memetik satu survei yang memfokus kepada orang Islam Amerika.

    Survei itu, yang dijalankan Institut bagi Dasar Sosial dan Pemahaman (ISPU), menunjukkan bahawa sentimen anti-Islam dipengaruhi beberapa faktor termasuk politik peribadi dan nasional serta sebanyak mana seseorang mengetahui tentang Islam, namun ia bukan disebabkan agama yang mereka anuti.

    Ia mendapati bahawa rakyat Amerika yang secara peribadi mengenali seorang penganut Islam adalah lebih dua kali ganda mungkin mempunyai pendapat positif tentang orang Islam berbanding mereka yang tidak mengenali orang Islam.

    Bagaimanapun, Indeks Islamofobia ISPU meningkat dari 24 pada 2018 kepada 28 pada 2019, yang menunjukkan bahawa orang Islam kekal sebagai kumpulan yang mungkin berdepan diskriminasi disebabkan agama mereka.

    Indeks itu adalah ukuran tahap sokongan orang ramai terhadap lima stereotaip negatif yang dikaitkan dengan orang Islam di Amerika – bahawa kebanyakan orang Islam yang tinggal di Amerika Syarikat adalah lebih cenderung terhadap keganasan berbanding penganut agama lain; bahawa mereka mengamalkan diskriminasi terhadap wanita; bahawa mereka mengamalkan sikap permusuhan dengan Amerika Syarikat; bahawa mereka kurang bertamadun berbanding penganut agama lain, dan bahawa mereka bertanggungjawab atas sebahagian tindakan ganas yang dilakukan oleh orang Islam lain.

    Menurut data ISPU, komuniti Yahudi memperoleh mata terendah iaitu 18 dalam indeks itu manakala penganut agama Kristian kulit putih meraih mata tertinggi 35. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda