Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ismail Izzani bukan agungkan pemuzik Indonesia

    Penyanyi Ismail Izzani menolak pandangan segelintir warganet yang mendakwa artis tempatan terlalu mengagungkan pemuzik dari Indonesia susulan semakin banyak kolaborasi muzik antara dua negara itu.

    Ismail atau Ismail Izzani Zainal Nazeri, 25, berkata dakwaan tersebut kurang tepat memandangkan kolaborasi rentas negara adalah perkara biasa dalam industri muzik moden yang sentiasa berkembang.

    “Bagi saya perkataan ‘mengagungkan’ itu tidak sesuai. Pendengar kita boleh belajar banyak tentang muzik dari Indonesia. Genre muzik di sana sangat besar.

    “Kalau warganet nak cakap macam itu tidak salah, masing-masing ada pendapat sendiri. Cuma saya melihat kolaborasi ini tidak ada salahnya kerana peredaran muzik berlalu sangat cepat,” katanya kepada mStar. 

    Dalam pada itu, Ismail turut meluahkan rasa gembira melihat perkembangan positif dalam industri muzik serantau, khususnya di Asia Tenggara yang kini lebih terbuka kepada pelbagai genre dan kerjasama merentas sempadan.

    Malah, penyanyi lagu Luar Biasa itu melihat kolaborasi penyanyi Ernie Zakrie dan Ara Johari bersama komposer Indonesia sebagai satu penanda aras kemajuan industri muzik tempatan.

    “Sejujurnya saya sangat gembira melihat industri muzik sekarang lebih-lebih lagi di Asia Tenggara.  Saya seronok lihat negara luar kerana mereka sangat terbuka untuk menerima pelbagai genre muzik. Secara tidak langsung, pendengar kita dapat belajar banyak tentang muzik dari luar.  Saya harap ramai lagi artis Indonesia yang akan berkolaborasi dengan artis Malaysia selepas ini,” ujarnya.

    Ditanya mengenai pengalaman peribadi, Ismail berkata sebelum ini dia pernah bekerjasama dengan beberapa pemuzik dari Indonesia namun rakaman dijalankan secara berasingan. Kongsinya, dia juga bakal ke negara jiran itu untuk merakamkan lagu baharu.

    “Sebelum ini memang saya ada bekerjasama dengan beberapa pemuzik di Indonesia tetapi saya tidak ke sana untuk merakamkan lagu. Kami rakam secara berasingan. Walau bagaimanapun ia merupakan pengalaman yang menarik.

    “Insya-Allah tak lama lagi saya akan ke Indonesia untuk proses rakaman lagu baharu dengan komposer di sana,” katanya. – Agensi

    Ismail bakal ke Indonesia untuk merakamkan lagu baharu. – mStar
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda