Dalam tempoh 24 jam, dua penyanyi muda berbakat besar, Ismail Izzani dan Naim Daniel menyiapkan single berjudul COVID-19 (II X ND).
Selain lagu, muzik video yang dihasilkan dan dimuat naik sendiri, semalam sudah mencecah 30,000 tontonan di laman YouTube. Lagu yang dihasilkan secara spontan itu salah satu Pengumuman Perkhidmatan Awam (PSA).
Penyanyi lagu Sumpah, Naim Danial berkata, single COVID-19 adalah hasil cetusan idea Ismail.
“Tiada tujuan meraih keuntungan, sebaliknya lagu COVID-19 dihasilkan selepas melihat wabak berbahaya ini kian meruncing, tetapi masih ada rakyat Malaysia yang ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan dikeluarkan kerajaan.
“Jujurnya, lagu ini terhasil secara tidak sengaja sewaktu Ismail tampil secara ‘live’ di laman Instagram. Dari situ, timbul idea memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai bahaya virus ini. Kami berharap rakyat Malaysia dapat mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan sepanjang dua minggu ini. “Agak lucu mengenangkan projek ini kerana ia berlaku dengan terlalu pantas. Mulanya, Ismail merakamkan bahagiannya dan siap dalam jam jam 3 pagi. Kemudiannya, dia menyerahkannya untuk saya menyiapkan bahagian lain pula,” katanya kepada media.

Naim berkata, dia kemudiannya memasukkan elemen muzik dan vokal untuk bahagiannya.
“Secara keseluruhan, lagu ini siap dalam tempoh 24 jam.
“Saya dan Ismail menghasilkan lagu ini secara suka-suka bagi mengisi kandungan laman sosial ketika sedang ‘berkurung’ di rumah, sekali gus mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan,” katanya.
Naim yang juga juara Anugerah Juara Lagu Ke-34 itu berkata, sebanyak 10 undangan persembahan terpaksa ditangguhkan sejak kerajaan mengisytiharkan arahan Perintah Kawalan Pergerakan, sejak minggu lalu.
“Saya akur arahan kerajaan, walaupun terkesan dengan larangan berkumpul bagi tujuan sosial dan kesenian. Saya berdoa wabak COVID-19 yang mengorbankan banyak nyawa akan segera berakhir.
“Kini, saya lebih banyak menghabiskan masa menghasilkan kandungan video untuk projek yang sudah ditandatangani. Saya berharap masalah wabak ini dapat diatasi supaya dapat kembali bekerja seperti biasa,” katanya. – Agensi