PUTRAJAYA, 14 MAC – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tiba di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyambung proses memberi keterangan bagi membantu siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan beliau.
Kenderaan membawa Perdana Menteri kesembilan itu tiba pada jam 8:46 pagi tadi.
Ahli Parlimen Bera itu disiasat berkaitan kes rasuah dan pengubahan wang haram berhubung perbelanjaan dan perolehan dana bagi tujuan promosi serta publisiti program Keluarga Malaysia semasa tempoh perkhidmatan beliau dari Ogos 2021 hingga November 2022.
Kes disiasat mengikut Akta SPRM 2009 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
Pada 3 Mac lepas, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dilaporkan berkata Ismail Sabri adalah suspek bagi siasatan kes rasuah serta pengubahan wang haram, susulan penemuan wang tunai kira-kira RM170 juta dalam pelbagai mata wang dan 16 kilogram jongkong emas di dalam sebuah ‘safe house’ hasil serbuan SPRM.
SPRM juga dilaporkan menyita 13 akaun bank bagi membantu siasatan kes berkenaan.
Ismail Sabri telah tampil memberi keterangan kepada SPRM pada Januari tahun lepas berhubung isu membabitkan penggunaan wang sebanyak RM700 juta untuk publisiti kerajaan semasa pentadbirannya.
Pada 10 Februari lepas, Ismail Sabri sudah menghantar maklumat pengisytiharan harta sebelum keterangannya direkodkan pada 19 Februari lepas.
Ismail Sabri sepatutnya dijadual hadir pada 5 Mac lepas untuk memberi keterangan, namun tidak dapat hadir ekoran masalah kesihatan dan telah diberi sijil cuti sakit. Beliau hadir merakam percakapan selepas tempoh cuti sakit tamat pada 12 Mac lepas.
Sebelum ini media melaporkan SPRM telah merekodkan keterangan 32 saksi dan empat bekas pegawai Ismail Sabri yang ditahan sebelum ini berhubung siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram. – Bernama
