Tuesday, March 4, 2025
23.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ismail Sabri suspek kes rasuah, penggubahan wang haram

    PUTRAJAYA, 3 MAC – Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki hari ini mengesahkan bahawa bekas Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob merupakan suspek bagi siasatan kes rasuah dan penggubahan wang haram.

    Beliau pada sidang media hari ini berkata pihak SPRM juga dijangka mengambil keterangan perdana menteri kesembilan itu sekali lagi berhubung kes berkenaan pada Rabu.

    “Saya boleh katakan beliau (Ismail Sabri) adalah suspek dalam kes ini, ini kerana pertama Seksyen 36(1) Akta SPRM 2009 telah diberikan kepada beliau untuk membuat pengisytiharaan harta.

    “Kedua, bila terjumpa wang ini dan beliau antara yang dikaitkan, maka kita perlu mendapatkan penjelasan daripada beliau tentang penemuan wang ini,” katanya dalam sidang media di Putrajaya hari ini.

    Semalam, SPRM dilaporkan berkata Ismail Sabri sedang disiasat berkaitan kes rasuah dan penggubahan wang haram dan fokus siasatan tertumpu kepada perbelanjaan dan perolehan dana bagi tujuan promosi serta publisiti semasa beliau memimpin Malaysia.

    Tan Sri Azam Baki (tengah) menunjukkan jongkong emas yang dirampas ketika sidang media khas berhubung Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Presint 7 hari ini. – Bernama

    SPRM dilapor telah menyita wang tunai kira-kira RM170 juta dalam pelbagai mata wang antarabangsa antaranya Baht, Riyal, Pound Sterling, Won, Euro, Swiss Franc dan Yuan, serta 16 kilogram jongkong emas tulen yang dianggarkan bernilai hampir RM7 juta.

    Setakat ini, Azam berkata SPRM telah merakam percakapan 31 individu serta membekukan 13 akaun bank bernilai kira-kira RM2 juta dengan kesemuanya akaun adalah sah dan aktif.

    “Berhubung Ismail Sabri, kita tidak lagi bekukan akaun beliau manakala akaun (Yayasan Keluarga Malaysia) juga tidak dibekukan,” katanya.

    Beliau berkata pihaknya dijangka memanggil beberapa lagi saksi berhubung kes ini dan siasatan ini dibuat dengan terperinci.

    Azam berkata kes itu disiasat mengikut Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda