Thursday, November 7, 2024
30.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Israel bedil bangunan bersejarah Lubnan

    BEIRUT, 7 NOV – Serangan udara Israel pada Rabu telah memusnahkan sebuah bangunan bersejarah berhampiran kompleks kuil Baalbek di timur Lubnan

    Gabenor Baalbek, Hermel Bachir Khodr memberitahu Agensi Anadolu bahawa serangan itu menyebabkan kemusnahan bangunan bersejarah Manshieh.

    “Bangunan ini terletak di kawasan yang diklasifikasikan sebagai tapak warisan dan berasal dari era Uthmaniyyah,” katanya.

    Seorang pegawai Kementerian Kebudayaan yang enggan dikenali, memberitahu Anadolu bahawa satu daripada serangan udara Israel memusnahkan bangunan bersejarah Manshieh, yang diklasifikasikan oleh kementerian dan berasal dari era Uthmaniyyah di Levant (1516–1918) serta terletak berhampiran dengan kompleks kuil Baalbek yang bersejarah.

    Khodr berkata serangan itu adalah yang paling hampir dengan kompleks kuil Baalbek, dan pemeriksaan akan dilakukan untuk menentukan jika terdapat sebarang kerosakan dalam struktur berkenaan.

    Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, serangan udara Israel menyasarkan Baalbek,  City of the Sun, yang terkenal dengan tapak arkeologinya, kebanyakannya bermula pada era Rom, menurut laporan itu.

    Israel telah melancarkan kempen udara besar-besaran di Lubnan sejak akhir September terhadap apa yang didakwanya sebagai sasaran Hezbollah, dalam peningkatan konflik rentas sempadan antara Israel dan kumpulan Lubnan itu sejak permulaan serangan kejam Israel ke atas Semenanjung Gaza.

    Sekurang-kurangnya 3,050 orang telah terbunuh dan hampir 13,700 cedera dalam serangan Israel sejak Oktober 2023, menurut pihak berkuasa kesihatan Lubnan.

    Israel memperluas konflik dengan melancarkan serangan darat ke selatan Lubnan pada 1 Oktober. – Bernama

    Orang ramai dan penyelamat cuba memadamkan kebakaran di tapak serangan udara Israel yang menyasarkan kawasan kejiranan padat penduduk di bandar Baalbek di timur Lubnan kelmarin.  – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda