GAZA, 20 OGOS – Kereta kebal Israel membedil kedudukan Hamas di Semenanjung Gaza awal hari ini dalam respons terhadap belon yang dilancarkan oleh Palestin tatkala perantara berusaha membroker untuk menamatkan pergolakan terbaharu itu.
Israel telah mengebom Semenanjung Gaza hampir setiap malam sejak 6 Ogos dalam tindakan balas terhadap belon atau, tembakan roket dari sempadan.
Ia juga telah memperketat sekatan 13 tahun ke atas dua juta penduduk Gaza.
Ia mengharamkan nelayan Gaza daripada keluar ke laut dan menutup lintasan barangan dengan wilayah, justeru mendorong penutupan satu-satunya loji tenaga Gaza.
“Bahan ledakan dan belon api dilancarkan dari Semenanjung Gaza ke Israel,” menurut kenyataan tentera awal hari ini.
“Dalam respons, kereta kebal menyasarkan pos tentera milik pertubuhan Hamas di Semenanjung Gaza.”
Pegawai keselamatan Gaza berkata bedilan terkena pos pengawasan Hamas berhampiran Al-Maghazi dan kem pelarian Al-Bureij dan bandar Khan Yunis, tanpa mengakibat sebarang kerosakan.
Sejak serangan meletus dua minggu lalu, serangan balas Israel telah membabitkan kapal terbang perang dan sumber keselamatan Gaza berkata peralihan kepada kereta kebal mungkin menandakan satu percubaan untuk meredakan keadaan. Ia berlaku selepas wakil Mesir berusaha membroker semula perjanjian gencatan senjata di antara kedua-dua pihak. – AFP
