ISTANBUL, 2 JUN – Pengantara gencatan senjata Qatar, Mesir dan Amerika Syarikat (AS) menyeru Israel dan Hamas untuk memuktamadkan perjanjian yang merangkumi prinsip yang digariskan oleh Amerika Syarikat (AS) untuk gencatan senjata yang berkekalan, lapor agensi Anadolu.
Negara pengantara itu turut menekankan bahawa ‘perjanjian itu menawarkan jalan baharu untuk gencatan senjata kekal dan menamatkan krisis’.
Biden pada Jumaat berkata bahawa Israel telah mengemukakan kepada Hamas satu perjanjian tiga peringkat yang akan menamatkan konflik di Gaza dan memastikan pembebasan tawanan yang ditahan di wilayah dikepung berkenaan.
Beliau merayu kepada Hamas untuk menerima perjanjian itu dan menggesa Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, untuk menahan diri daripada tekanan ahli gabungan pemerintahannya yang menentang rancangan tersebut.
Pejabat Netanyahu pada Jumaat mengulangi hasratnya untuk meneruskan serangan ke atas Gaza sehingga mencapai semua matlamatnya, menurut Anadolu.
Hamas berkata ia akan ‘bertindak balas secara positif terhadap sebarang cadangan yang merangkumi gencatan senjata kekal, pengunduran sepenuhnya dari Gaza, usaha pembinaan semula, kepulangan penduduk kehilangan tempat tinggal dan penyelesaian perjanjian pertukaran tawanan yang komprehensif’, tambahnya. – Bernama
