BERLIN, 20 MEI – Menteri-menteri Luar dari lebih 20 negara termasuk Jerman, Perancis dan Britain menggesa Israel membenarkan akses bantuan kemanusiaan ke Semenanjung Gaza sepenuhnya, lapor agensi berita Jerman (dpa).
“Kami mengambil maklum mengenai petunjuk berlakunya penyambungan semula bantuan secara terhad, namun Israel telah menyekat kemasukan bantuan ke Gaza selama lebih dua bulan.
“Bekalan makanan, ubat-ubatan dan keperluan asas sudah habis. Penduduk Gaza berdepan kebuluran. Mereka mesti menerima bantuan yang amat diperlukan,” menurut kenyataan bersama yang disiarkan kelmarin.
Kenyataan itu, yang ditandatangani oleh menteri luar dari 22 negara, mengkritik tindakan Israel yang hanya membenarkan lima trak membawa bekalan asas memasuki wilayah yang dikepung itu kelmarin.
Para menteri mengemukakan dua tuntutan jelas terhadap Israel, ‘Benarkan bantuan disambung semula sepenuhnya ke Gaza dengan kadar segera dan membenarkan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu serta organisasi kemanusiaan untuk beroperasi secara bebas dan adil bagi menyelamatkan nyawa, mengurangkan penderitaan, dan mengekalkan maruah manusia.’ – Bernama
