Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Israel dituduh jalankan ‘kempen kebuluran’

    GENEVA, 9 JULAI – Pakar-pakar hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pada hari ini menuduh Israel menjalankan ‘kempen kebuluran bersasar’ yang telah mengakibatkan kematian kanak-kanak di Gaza.

    “Kami mengisytiharkan bahawa kempen kebuluran yang disengajakan dan disasarkan oleh Israel terhadap rakyat Palestin adalah satu bentuk keganasan genosid dan telah mengakibatkan kebuluran di seluruh Gaza,” kata 10 pakar bebas PPB dalam satu kenyataan.

    PBB tidak secara rasmi mengisytiharkan kebuluran di Semenanjung Gaza.

    Bagaimanapun pakar-pakar, termasuk pelapor khas PBB mengenai hak makanan, Michael Fakhri, menegaskan bahawa tidak dinafikan kebuluran sedang berlaku.

    “Tiga puluh empat rakyat Palestin telah meninggal dunia akibat kekurangan zat makanan sejak 7 Oktober, majoritinya kanak-kanak,” kata pakar yang dilantik oleh Majlis Hak Asasi Manusia PBB, tetapi tidak bercakap bagi pihak PBB.

    Kenyataan mereka serta-merta dikecam oleh misi Israel ke PBB di Geneva, yang menuduh bahawa ‘Fakhri, dan ramai yang dipanggil ‘pakar’ yang menyertai kenyataannya, sudah biasa menyebarkan maklumat yang salah, sama seperti mereka menyokong propaganda Hamas dan melindungi organisasi pengganas daripada siasatan’.

    Pakar-pakar PBB pula menyenaraikan tiga orang kanak-kanak yang meninggal dunia baru-baru ini ‘akibat kekurangan zat makanan’, selepas beberapa orang lain dikatakan mati kelaparan di utara Gaza awal tahun ini.

    Mereka mengecam bahawa dunia tidak melakukan secukupnya untuk mengelakkan bencana ini. – AFP

    Gambar AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda