GENEVA, 1 MEI – Turkiye mendakwa Israel menggunakan kelaparan sebagai senjata terhadap orang awam di Gaza sambil mengkritik kegagalan masyarakat antarabangsa menghentikan keganasan dan melindungi nyawa tidak bersalah.
Bercakap pada sesi pendengaran Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) kelmarin, Timbalan Menteri Luar Turkiye, Nuh Yılmaz berkata masyarakat antarabangsa, “telah gagal dengan ketara” dalam menghentikan pencerobohan Israel yang mengorbankan puluhan ribu nyawa tidak bersalah di Gaza, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.
Yılmaz berkata Turkiye hadir di mahkamah bagi membangkitkan, “pelanggaran berterusan Israel terhadap kewajipan antarabangsa,” sambil menyifatkan perang berskala luar biasa sedang dilancarkan terhadap orang awam di Gaza, selain keganasan turut merebak ke Tebing Barat dan negara jiran.
Beliau mendakwa Israel melaksanakan hukuman kolektif serta, “menggunakan kelaparan sebagai senjata,” dengan merujuk kepada penutupan lintasan masuk ke Gaza dan halangan terhadap bekalan penting sejak 2 Mac.
“Apabila tiada undang-undang dikuatkuasakan untuk menghalang Israel, maka akan wujud kekacauan, anarki dan pembunuhan besar-besaran yang menyamai genosid di Gaza,” katanya.
Turkiye turut mengecam serangan Israel ke atas Agensi Bantuan dan Kerja Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA) dan tindakan menangguhkan operasi agensi itu, yang disifatkan sebagai pelanggaran terhadap langkah sementara ICJ dan satu bentuk pemusnahan terhadap rakyat Palestin sebagai kumpulan yang dilindungi.
Yılmaz turut memetik insiden pembunuhan sukarelawan kemanusiaan Turkiye-Amerika, Aysenur Ezgi Eygi, ketika menyertai tunjuk perasaan aman di Tebing Barat, sambil memberi amaran bahawa situasi kekal berbahaya bagi petugas bantuan di lapangan.
“Turkiye dengan hormat meminta ICJ mengeluarkan pendapat nasihat yang menegaskan semula kewajipan Israel di bawah undang-undang antarabangsa, sekali gus membuka jalan ke arah keadilan, keamanan dan keselamatan untuk rakyat Palestin dan Israel,” katanya.
Tentera Israel menyambung semula serangan ke atas Gaza pada 18 Mac, sekali gus menamatkan gencatan senjata dan perjanjian pertukaran tahanan dengan Hamas yang dimeterai pada 19 Januari.
Sejak konflik bermula pada Oktober 2023, hampir 52,400 rakyat Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, terbunuh di Gaza. – Bernama/Anadolu
