GENEVA, 28 Feb – Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) hari ini menjelaskan bahawa terdapat bukti yang menunjukkan Israel melakukan jenayah ke atas kemanusiaan semasa memberi tindak balas terhadap bantahan pada tahun lepas di Gaza apabila penembak hendap mensasarkan orang awam seperti kanak-kanak, kakitangan kesihatan dan wartawan.
Israel dengan segera menolak keputusan itu dan menyifatkannya sebagai penipu dan berat sebelah.
Suruhanjaya Siasatan Bebas PBB bagi bantahan di Kawasan Palestin telah menyiasat berhubung dengan pelanggaran yang dilakukan semasa demonstrasi di Semenanjung Gaza antara 30 Mac dan 31 Disember 2018.
“Tentera Israel melakukan pencabulan hak asasi manusia antarabangsa dan undang-undang kemanusiaan,” menurut pengerusi jawatankuasa, Santiago Canton dalam satu kenyataan.
“Beberapa pelanggaran itu berkemungkinan berbentuk jenayah perang atau jenayah ke atas kemanusiaan,” tambahnya.
Suruhanjaya tersebut, ditubuhkan oleh Majlis Hak Asasi Manusia PBB pada Mei berkata, lebih 6,000 peserta demonstrasi tidak bersenjata ditembak oleh penembak hendap tentera semasa bantahan yang berlarutan selama berminggu-minggu.
Menteri Luar Israel berkata wilayah Yahudi itu menolak laporan tersebut.
“Tidak ada institusi menidakkan hak Israel untuk mempertahankan diri dan tugasnya untuk melindungi penduduk dan sempadan daripada serangan ganas,” jelas Menteri Luar Israel Katz dalam satu kenyataan.
Antara persoalan yang menyelubungi bantahan Gaza itu adalah adakah pembantah rakyat Palestin memberikan ancaman kepada tentera Israel.
Penyiasat PBB menekankan bahawa terdapat bukti yang kukuh bahawa tentera Israel telah membunuh dan mencederakan rakyat Palestin.
Pihak suruhanjaya itu juga menolak dakwaan Israel bahawa bantahan itu bertujuan untuk menyembunyikan tindakan keganasan. – AFP