Saturday, March 22, 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Israel kenakan sekatan ketat pelawat Palestin ke Masjid Al-Aqsa

    BAITULMAQDIS, 21 MAC – Pasukan pendudukan Israel mengenakan sekatan ketat terhadap jemaah Islam Palestin yang datang dari Tebing Barat ke bandar Baitulmaqdis yang diduduki untuk menunaikan solat Jumaat ketiga dalam bulan suci Ramadan di Masjid Al-Aqsa, lapor agensi berita Palestin (WAFA).

    Sumber tempatan melaporkan penempatan pasukan tentera Israel yang besar di sekitar pusat pemeriksaan Qalandiya di utara Baitulmaqdis, pusat pemeriksaan Zeitoun di timur dan Bethlehem di selatan.

    Ribuan jemaah telah dihalang dan dilarang memasuki bandar berkenaan dengan alasan tidak mempunyai permit yang diperlukan.

    Tentera turut memeriksa kad pengenalan penduduk dan menghalang lelaki di bawah umur 55 tahun dan wanita di bawah umur 50 tahun yang memiliki ‘permit khas’ daripada memasuki Baitulmaqdis.

    Walau bagaimanapun, ribuan rakyat Palestin masih cuba melepasi sekatan sejak awal pagi ini untuk menuju ke Masjid Al-Aqsa.

    Sumber itu menambah bahawa pasukan pendudukan menutup pintu pagar pusat pemeriksaan Qalandiya dan menghalang sesiapa daripada masuk selama hampir setengah jam sebelum membukanya semula. – Bernama

    Gambar menunjukkan bangunan yang musnah semasa serangan udara dan darat Israel di Semenanjung Gaza dilihat dari selatan Israel pada 20 Mac. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda