BAITULMAQDIS, 6 JULAI – Israel mencapai persetujuan untuk bertukar vaksin COVID-19 dengan Korea Selatan hari ini, menghantar 700,000 dos vaksin Pfizer/BioNTech ke Seoul ‘dengan serta-merta’ sebagai tukaran kepada jumlah yang sama pada bulan-bulan akan datang.
Satu kenyataan dari pejabat Perdana Menteri Naftali Bennet berkata perjanjian itu, yang pertama seumpama itu di Israel, akan membenarkan penggunaan stok vaksin yang lebih berkesan untuk kedua-dua negara.
Kenyataan menambah Bennett telah bercakap kepada ketua eksekutif Pfizer, Albert Bourla mengenai pengaturan itu.
Israel menerima bekalan besar vaksin Pfizer/BioNTech sejurus selepas kelulusannya pada tahun lalu berikutan satu pengaturan dengan pengeluar untuk berkongsi data mengenai kesannya.
Perjanjian itu membantu Israel melancarkan salah satu kempen inokulasi paling pantas di dunia tetapi juga menimbulkan kebimbangan mengenai stok vaksin tidak diguna yang luput tarikhnya.
Pihak Berkuasa Palestin pada bulan lalu membatalkan perjanjian yang akan melihat jutaan vaksin daripada inventori Israel yang dihantar ke Tebing Barat.
PA berkata dos berkenaan ‘bakal luput tarikhnya.’ Israel menegaskan ia ‘masih sah.’ – AFP