GAZA, 10 MEI – Tentera Israel memperbaharui serangan ke atas Gaza hari ini, ketika penduduk di kedua-dua belah sempadan bersiap sedia berdepan lebih banyak keganasan.
Serangan berlaku beberapa jam selepas pihak tentera membunuh dua rakyat Palestin di Tebing Barat.
Terdahulu, kepulan asap kelihatan dari wilayah pantai Palestin selepas Israel memberitahu ia menyasarkan infrastruktur pelancaran roket yang dikawal oleh pejuang Islam.
Seorang pegawai Kementerian Kesihatan Gaza berkata dalam serangan itu, seorang mangsa terbunuh manakala seorang lagi cedera parah.
Tentera Israel berkata serangan hari ini antaranya termasuk menembak ke arah pejuang ‘yang dalam perjalanan ke tapak pelancaran roket di bandar Khan Yunis’ di selatan Gaza.
Semalam, Jihad Islam berikrar untuk bertindak balas, dengan Israel memberi amaran kepada penduduk berhampiran sempadan untuk pergi ke tempat perlin-dungan bom.
Awal pagi ini, tentera Israel menyerbu bandar Qabatiya, Tebing Barat dan membunuh dua orang yang didakwa menembak ke arah tentera.
Kementerian Kesihatan Palestin mengenal pasti dua lelaki itu sebagai Ahmed Jamal Tawfiq Assaf, 19, dan Rani Walid Ahmed Qatanat, 24. – AFP
