Sunday, September 8, 2024
28.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Israel melakukan jenayah perang – kata Pemimpin Afrika Selatan

    CAPE TOWN, 22 NOV – Presiden Afrika Selatan, Cyril Ramaphosa menuduh Israel melakukan jenayah perang dan bertindak sama seperti pembunuhan beramai-ramai (genosid) di Gaza semasa pertemuan maya kelmarin antara pemimpin-pemimpin negara membangun, termasuk Vladimir Putin dari Rusia dan Xi Jinping dari China.

    Ramaphosa juga mengecam pejuang Hamas kerana serangannya terhadap orang awam Israel yang mencetuskan perang di Gaza dan berkata kedua-dua pihak bersalah kerana melanggar undang-undang antarabangsa.

    “Hukuman kolektif terhadap orang awam Palestin melalui penggunaan kekerasan yang menyalahi undang-undang oleh Israel adalah jenayah perang,” kata Ramaphosa pada permulaan mesyuarat para pemimpin dan diplomat tertinggi dari blok negara BRICS. “Penolakan ubat, bahan api, makanan dan air dengan sengaja kepada penduduk Gaza adalah sama dengan pembunuhan beramai-ramai.”

    “Dalam serangannya terhadap orang awam dan dengan mengambil tebusan, Hamas juga telah melanggar undang-undang antarabangsa dan mesti bertanggungjawab atas tindakan ini,” kata Ramaphosa.

    Putin dan Xi bertindak lebih berhati-hati, menggesa gencatan senjata dan pembebasan tebusan awam tetapi tidak melancarkan tahap kritikan yang sama terhadap mana-mana pihak seperti Ramaphosa.

    Turut menyertai mesyuarat itu ialah pemimpin dan pegawai daripada rakan BRICS Brazil dan India, dan dari Arab Saudi, Argentina, Mesir, Ethiopia, Iran dan Emiriah Arab Bersatu, yang akan menyertai blok itu pada bulan Januari.

    Ramaphosa mempengerusikan ‘mesyuarat luar biasa’ dan membuat ucapan pembukaan kerana kedudukan Afrika Selatan sebagai pengerusi semasa BRICS.

    Putin berkata terdapat ‘malapetaka kemanusiaan’ berlaku di Gaza dan ia “mengejutkan melihat bagaimana pembedahan dilakukan ke atas kanak-kanak tanpa bius.” Beliau sekali lagi menyalahkan krisis itu atas apa yang disebutnya diplomasi yang gagal oleh Amerika Syarikat. – AP

    Presiden Afrika Selatan, Cyril Ramaphosa berucap kepada pemimpin BRICS semasa mesyuarat maya pemimpin-pemimpin negara membangun pada kelmarin. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda