ISTANBUL, 1 JULAI – Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kelmarin berkata Israel mesti memudahkan akses dan kemasukan bekalan penting ke Gaza melalui lintasan sempadan sedia ada bagi memenuhi ‘keperluan mendesak’ penduduk, lapor Anadolu Ajansi (AA).
“Orang awam mesti dihormati dan mereka mesti dilindungi,” kata jurucakap Stephane Dujarric pada sidang media harian, sambil menekankan keperluan untuk, “akses kemanusiaan penuh, selamat dan berterusan selaras dengan prinsip kemanusiaan.”
Beliau berkata Program Makanan Sedunia (WFP) melaporkan seorang daripada lima penduduk di Gaza kini berdepan ‘tahap kebuluran yang kritikal’ akibat sekatan terhadap operasi kemanusiaan.
“Bertan-tan bekalan makanan telah disediakan di wilayah itu dan sedia untuk disalurkan kepada penduduk Gaza jika akses dapat dipertingkatkan,” kata Dujarric.
Beliau berkata, Setiausaha Agung Antonio Guterres merasa ‘bimbang’ dengan arahan pemindahan baharu yang dikeluarkan pihak berkuasa Israel di utara Gaza, “yang sekali lagi memaksa puluhan ribu penduduk berpindah.”
“Penduduk kini terpaksa berpindah ke kawasan sesak yang telah dihuni ribuan penduduk lain. Kawasan ini tidak mempunyai tempat perlindungan, bekalan air, sistem kumbahan apatah lagi kemudahan perubatan,” kata Dujarric.
Dujarric turut menggesa pihak berkuasa Israel membenarkan kemasukan bahan api ke Gaza untuk operasi menyelamatkan nyawa termasuk hospital, loji penyahgaraman, peralatan sanitasi dan telekomunikasi. Ia juga untuk membantu operasi dapur komuniti dalam memberi makanan kepada penduduk Gaza, selain membolehkan penghantaran barangan ke lokasi yang memerlukan.
“Jika larangan terhadap bahan api berterusan, lebih banyak perkhidmatan kritikal ini akan ditutup tidak lama lagi dan di beberapa kawasan, penutupan akan berlaku dengan sangat cepat,” katanya.
Dujarric berkata Guterres juga ‘mengutuk’ kematian orang awam akibat serangan Israel yang berterusan serta ‘mengalu-alukan’ usaha pengantaraan untuk mencapai gencatan senjata kekal.
Walaupun terdapat gesaan antarabangsa untuk gencatan senjata, tentera Israel telah membunuh lebih 56,500 penduduk Palestin dalam serangan berterusan di Semenanjung Gaza sejak Oktober 2023. – Bernama/Anadolu


