ISTANBUL, 30 MAC – Israel merampas lebih 52,000 12,800 ekar tanah Palestin di Tebing Barat yang diduduki sejak 7 Oktober 2023, menurut Suruhanjaya Penentangan Penjajahan dan Tembok Palestin kelmarin, lapor agensi Anadolu.
Dalam kenyataan sempena Hari Tanah, suruhanjaya itu mendedahkan bahawa sejak perang di Gaza bermula, Israel mengeluarkan 13 arahan ketenteraan bagi mewujudkan zon penampan di sekitar penempatan haram serta menubuhkan 60 pos penempatan haram baharu di Tebing Barat.
Daripada jumlah itu, sebanyak 11,400 ekar telah dirampas sepanjang 2024 sahaja atas pelbagai alasan, termasuk pengisytiharan sebagai kawasan rizab semula jadi, tanah milik negara dan zon ketenteraan.
Hari Tanah, yang disambut setiap 30 Mac, memperingati peristiwa 1976 apabila Israel merampas tanah milik rakyat Palestin, mencetuskan protes besar-besaran yang mengorbankan beberapa nyawa.
Menurut suruhanjaya itu, lebih 5,900 ekar tanah telah dirampas dengan alasan ia adalah “tanah milik negara,” menjadikannya rampasan tanah terbesar dalam lebih tiga dekad.
Kenyataan itu turut menekankan kempen perobohan yang dijalankan oleh Israel ke atas bangunan Palestin.
Pada 2023, pihak berkuasa Israel mengeluarkan 939 arahan perobohan, dengan 60 peratus daripadanya tertumpu di Hebron, Baitlehem, Ramallah dan Baitulmuqaddis.
Selain itu, sebanyak 684 bangunan dirobohkan, kebanyakannya di Kawasan C, yang meliputi Baitulmuqaddis, Hebron, Nablus dan Jericho.
Suruhanjaya Palestin melaporkan bahawa kini terdapat kira-kira 770,000 pendatang haram Israel yang menetap di 180 penempatan dan 256 pos penempatan haram di Tebing Barat yang diduduki.
Ketegangan terus memuncak di Tebing Barat, dengan sekurang-kurangnya 939 rakyat Palestin terbunuh dan hampir 7,000 cedera akibat serangan tentera Israel dan pendatang haram sejak serangan ke atas Gaza bermula pada 7 Oktober 2023, menurut Kementerian Kesihatan Palestin. – Bernama
