JABBET AL-DHIB, 8 MEI – Tentera Israel hari ini merobohkan sebuah sekolah di Tebing Barat dengan mendakwa tindakan itu dilakukan berikutan isu keselamatan.
Bagaimanapun, tindakan rejim Zionis itu mendapat kritikan Kesatuan Eropah (EU) yang membiayai projek pembinaan sekolah berkenaan.
Rakyat Palestin membaling batu ke arah tentera Israel yang melepaskan gas pemedih mata ke arah mereka, ketika jentolak masuk ke tapak di perkampungan Jabbet al-Dhib berhampiran Baitulmaqdis.
EU mengakui ‘terkejut’ dengan kehadiran tentera Israel di tapak sekolah yang menempatkan lima kelas dan memberi perkhidmatan kepada 45 pelajar, seperti dinyatakan pegawai Pihak Berkuasa Palestin.
Karavan dan kelas yang dibina daripada kepingan timah dibersihkan, sebelum struktur itu dirobohkan.
Agensi Kementerian Pertahanan Israel, COGAT yang menyelia hal ehwal awam di wilayah diduduki, pada Mac lalu memberi tempoh dua bulan untuk mengosongkan premis itu susulan perintah mahkamah Baitulmaqdis.
COGAT mendakwa sekolah itu ‘dibina secara haram’ dan menimbulkan ‘bahaya terhadap keselamatan’.
Agensi itu menerusi kenyataan, berkata pihak berkuasa sudah cuba mengadakan sesi dialog dengan pemilik sekolah, selain memetik penjelasan jurutera yang menyatakan struktur sekolah itu boleh runtuh pada bila-bila masa.
Pegawai Menteri Pendidikan Palestin, Ahmed Naser, berkata sekolah itu menggantikan sekolah lain yang dirobohkan rejim zionis pada 2019, selain menjelaskan lokasinya yang terpencil, menghalang ‘pemindahan dan pengusiran secara paksa’ serta mendakwa Israel ‘mahu merampas tanah berkenaan’. – AFP


