TEHRAN, 16 APRIL – Jurucakap Briged Al-Qassam, Abu Obeida memaklumkan bahawa pihaknya telah terputus hubungan dengan pasukan yang mengawal tahanan askar Israel yang mempunyai dwikewarganegaraan Amerika Syarikat (AS), Edan Alexander, di Gaza selepas lokasi mereka terkena ‘serangan langsung’ oleh tentera Israel, lapor Agensi Berita Republik Islam (IRNA).
Beliau mengecam Israel kerana didakwa sengaja membunuh tahanan dwikewarganegaraan untuk meneruskan dasar pembunuhan beramai-ramai, dan berkata rejim itu cuba mengelak tekanan berkaitan isu tahanan bagi meneruskan perang genosid terhadap rakyat Palestin.
Sabtu lalu, Hamas telah menyiarkan satu video sebagai bukti bahawa Alexander masih hidup, yang dipercayai dirakam minggu lalu.
Dalam video tersebut, Alexander merayu kepada Presiden AS Donald Trump, agar menyelamatkannya dari Gaza dan menggesa Trump supaya tidak mempercayai ‘pembohongan’ yang didakwa disampaikan oleh Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.- Bernama/Irna
