GAZA, 18 SEPT – Kereta kebal dan jet pejuang Israel telah menyerang bandar Gaza kelmarin, sehingga memaksa ribuan penduduk Palestin yang ketakutan melarikan diri.
Asap tebal berkepul ke udara ketika wartawan AFP dan saksi melihat aliran berterusan penduduk Gaza bergerak ke arah selatan dengan berjalan kaki, menaiki kenderaan dan kereta kuda, sambil membawa barangan mereka yang tersusun tinggi.
“Tembakan artileri, serangan udara, tembakan dron tidak pernah berhenti,” kata Aya Ahmed, 32, yang berlindung bersama 13 ahli keluarganya di bandar Gaza.
“Dunia tidak faham apa yang sedang berlaku. Mereka (Israel) mahu kami berpindah ke selatan tetapi di mana kami akan tinggal? Tiada khemah, tiada pengangkutan, tiada wang.”
Penduduk Palestin berkata, kos perjalanan ke selatan melonjak, mencecah lebih AS$1,000 dalam beberapa kes.
“Keadaan tidak dapat digambarkan. Orang ramai di merata tempat, bunyi letupan, wanita dan lelaki menangis serta menjerit sambil berjalan membawa barangan,” kata Shadi Jawad, 47, menceritakan penderitaan keluarganya ketika melarikan diri dari rumah kelmarin.
Dalam perjalanan, barang-barang mereka terjatuh selepas lori yang dinaiki mengalami tayar pancit. – AFP


