Israel serang Gaza lagi

BANDAR GAZA, WILAYAH PALESTIN, 8 DIS – Pesawat udara Israel melancarkan serangan bersiri di Semenanjung Gaza yang dikawal Hamas awal pagi tadi, kata para pegawai keselamatan Palestin, beberapa jam selepas pejuang Hamas di enklaf melepaskan tiga tembakan roket ke arah negeri Yahudi itu.

Serangan itu menyasarkan dua tapak kepunyaan Briged Al-Qassam, sayap tentera Hamas di utara Gaza, bersama siri serangan udara di tapak Qassam, barat bandar Gaza, kata para pegawai Hamas.

Tidak ada laporan mengenai kecederaan.

Askar Israel berkata ‘jet pejuang dan helikopter melancarkan serangan ke atas beberapa sasaran pengganas’ di Gaza, serta ‘pos tentera miliki pasukan laut Hamas di utara Semenanjung Gaza’.

“Pasukan Pertahanan Israel (IDF) mengatakan organisasi pengganas Hamas bertanggungjawab atas peristiwa yang berlaku di Semenajung Gaza dan apa yang berpunca daripadanya,” kata tentera dalam satu kenyataan.

“Hamas akan menanggung akibat atas tindakannya ke atas orang awam Israel.”

Lewat Sabtu, pejuang Palestin di Gaza telah melancarkan tiga roket di selatan Israel.

Semua tiga projektil itu telah dipintas oleh sistem pertahanan Iron Dome, kata tentera, membetulkan kenyataan awal yang menurutnya dua daripada tiga roket telah ditembak ke selatan Israel.

Paramedik telah merawat tiga orang di bandar Sderot selatan Israel yang mengalami kecederaan ringan semasa mencari perlindungan ketika siren serangan udara tidak berfungsi, kata perkhidmatan perubatan kecemasan, Magen David Adom.

Tidak ada laporan mengenai kemusnahan material. – AFP

Budak lelaki Palestin mencabut serpihan kaca dari cermin pecah di rumah mereka dekat tapak serangan Israel semalam di Bandar Gaza pada 8 Disember. – AFP