Tuesday, April 8, 2025
24.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Israel serang khemah dekat hospital, korbankan wartawan

    DEIR AL-BALAH,7 APRIL – Tentera Israel telah menyerang beberapa khemah di luar dua buah hospital utama di Semenanjung Gaza kelmarin, mengorbankan sekurang-kurangnya dua orang, termasuk wartawan tempatan selain mencederakan sembilan lagi, termasuk enam wartawan menurut pegawai perubatan hari ini.

    Lima belas yang lain terbunuh dalam serangan berasingan di seluruh wilayah, menurut hospital.

    Serangan ke atas khemah media di luar Hospital Nasser di Khan Younis pada kira-kira jam 2 pagi menyebabkan khemah itu terbakar, membunuh Yousef al-Faqawi, seorang wartawan stesen TV Palestine Today dan seorang lagi lelaki, menurut hospital itu. Enam wartawan itu turut tercedera.

    Tentera Israel berkata ia menyerang seorang militan Hamas, tanpa memberikan maklumat lanjut. Ia juga mendakwa cuba mengelak daripada mencederakan orang awam dan menyalahkan Hamas atas kematian orang awam kerana ia sangat tertanam di kawasan perumahan.

    Israel turut menyerang khemah di pinggir Hospital Syahid Al-Aqsa di pusat bandar Deir al-Balah, mencederakan tiga orang, menurut hospital itu.

    Hospital Nasser berkata ia menerima 13 lagi mayat, termasuk enam wanita dan empat kanak-kanak, daripada serangan berasingan semalaman. Hospital Al-Aqsa melaporkan dua orang terbunuh dan tiga cedera dalam serangan di sebuah rumah di Deir al-Balah.

    Israel telah melakukan gelombang serangan di seluruh Gaza dan tentera darat telah melakar wilayah perang baharu sejak ia menamatkan gencatan senjata dengan Hamas bulan lepas.

    Israel juga menghalang import makanan, bahan api, ubat-ubatan dan bantuan kemanusiaan sejak awal Mac.

    Beribu-ribu orang telah berlindung di khemah-khemah dalam kawasan hospital sepanjang perang 18 bulan, dengan mengandaikan Israel mungkin tidak menyasarkan mereka.

    Israel telah menyerbu hospital beberapa kali menuduh Hamas menggunakannya untuk tujuan ketenteraan, tetapi dakwaan telah dinafikan oleh kakitangan hospital. – AP

    Kereta kebal Israel kelihatan di sepanjang sempadan Semenanjung Gaza, pada 18 Mac. Israel lancar serangan berdekatan hospital.- Gambar fail AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda