LUBNAN, 26 FEB – Israel menyerang pejuang Hizbullah berhampiran bandar Baalbek hari ini, beritahu sumber keselamatan kepada AFP, dalam serangan pertama di timur Lubnan dalam hampir lima bulan pertempuran rentas sempadan.
“Serangan Israel mengenai sebuah bangunan yang menempatkan institusi awam pejuang Hizbullah,” di pinggir bandar Baalbek, kata sumber itu, meminta namanya dirahsiakan kerana mereka tidak dibenarkan bercakap kepada akhbar.
Serangan kedua Israel mengenai sebuah gudang berhampiran Baalbek milik kumpulan yang disokong Iran, kata sumber itu.
Tentera Israel berkata mereka ‘pada masa ini menyerang sasaran pengganas pejuang Hizbullah di dalam kawasan Lubnan’.
Serangan hari ini menandakan serangan pertama ke atas pejuang Hizbullah di luar selatan Lubnan sejak permulaan konflik susulan perang Gaza 7 Oktober.
Bandar Baalbek di lembah Bekaa merupakan kubu Hizbullah yang bersempadan dengan Syria yang dikawal oleh kerajaan, sekutu utama Hizbullah.
Awal hari ini, kumpulan itu mengatakan bahawa mereka menembak jatuh dron Israel di selatan Lubnan.
Sejak 8 Oktober, pejuang Hizbullah dan musuh ketatnya Israel telah berbalas tembakan hampir setiap hari tetapi serangan sebahagian besarnya telah dihadkan di kawasan sempadan walaupun Israel telah melancarkan serangan di tempat lain di Lubnan, termasuk di Beirut. – AFP