JENIN, WILAYAH PALESTIN, 26 JAN – Tentera Israel hari ini membunuh sembilan rakyat Palestin dalam serbuan di Tebing Barat, menurut pegawai kesihatan Palestin, manakala tentera Israel berkata tentera berbalas tembakan dengan militan Islam semasa ‘operasi menentang keganasan’.
Kementerian Kesihatan Palestin menuduh tentera Israel sengaja melepaskan gas pemedih mata ke dalam wad kanak-kanak di hospital, menyebabkan kanak-kanak tercekik.
Dakwaan tersebut dinafikan oleh jurucakap tentera yang menambah bahawa gas berkenaan mungkin telah termasuk ke dalam klinik melalui tingkap.
Hari paling berdarah di Tebing Barat dalam beberapa tahun meletus semasa serbuan ke atas kem pelarian yang sesak di bandar utara Jenin, di mana tembakan dapat kedengaran di jalan raya dan asap berkepul-kepul dari penghadang jalan yang terbakar.
Kementerian Kesihatan Palestin berkata angka kematian akibat pertempuran meningkat kepada ‘sembilan syahid’ termasuk seorang wanita, dan 20 orang cedera sebelum tentera Israel berundur pada tengah pagi. – AFP