Monday, March 3, 2025
26.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Israel tangguh kemasukan bekalan bantuan ke Gaza

    BAITUL MAQDIS, 2 MAC – Israel mengumumkan hari ini bahawa ia akan menangguhkan kemasukan bekalan ke Gaza, dengan laporan tembakan artileri dan serangan udara di wilayah itu selepas Israel dan Hamas menghadapi kebuntuan mengenai cara untuk meneruskan gencatan senjata yang rapuh.

    Ketika fasa pertama gencatan senjata selama 42 hari hampir berakhir, Israel memberi sokongan kepada lanjutan yang katanya telah dicadangkan oleh utusan Timur Tengah AS, Steve Witkoff, yang akan meliputi bulan suci Ramadan bagi umat Islam dan perayaan Paskah bagi kaum Yahudi.

    Hamas berulang kali menolak lanjutan tersebut, sebaliknya lebih memilih peralihan kepada fasa kedua perjanjian gencatan senjata, yang akan melihat pembebasan semua tebusan yang tinggal dan pemberhentian pertempuran secara lebih kekal di Gaza.

    “Kami tidak akan menerima gencatan senjata tanpa pembebasan tebusan kami. Jika Hamas terus menolak, akan ada akibat lain,” kata pejabat Netanyahu dalam satu kenyataan. Hamas mengecam langkah tersebut, menyifatkannya sebagai ‘pemerasan murah, jenayah perang dan rampasan kuasa yang terang-terangan terhadap perjanjian gencatan senjata.’

    Agensi Pertahanan Awam Gaza melaporkan bahawa ‘tembakan artileri dan tembakan senjata dari kereta kebal Israel’ menyasarkan kawasan di timur bandar Khan Yunis, di Selatan Jalur Gaza.

    Tentera Israel dalam kenyataan berkata mereka sedang menyiasat perkara tersebut.

    Mereka juga mengatakan telah melakukan serangan udara di utara Gaza, menyasarkan individu yang didakwa ‘menanam alat letupan di kawasan berdekatan dengan tentera mereka.’ Susulan pengumuman penangguhan bantuan, jurucakap Netanyahu, Omer Dostri menulis di X, “Tiada trak yang masuk ke Gaza pagi ini, dan ia tidak akan dibenarkan pada peringkat ini.” – AFP

    Trak yang membawa bantuan kemanusiaan menunggu di Mesir di sempadan Rafah dengan Semenanjung Gaza pada 2 Mac. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda