Israel tangkap semula dua banduan Palestin

BAITULMAQDIS, 19 SEPT – Kesemua enam militan Palestin yang meloloskan diri daripenjara dikawal ketat Israel menerusi satu terowong yang digali di bawah singki sudah ditahan semula, selepas tentera berkata hari ini mereka berjaya menangkap baki dua banduan berkenaan.

Banduan berkenaan, yang ditahan atas serangan ke atas negara Yahudi, menjadi wira di kalangan penduduk Palestin apabila laporan timbul mereka telah menggali terowong hanya menggunakan sudu.

Israel telah melancarkan operasi besar-besaran untuk menangkap mereka, termasuk menggunakan dron udara, tempat pemeriksaan jalan dan misi tentera ke Jenin di Tebing Barat.

Operasi pemburuan tersebut berlangsung hampir dua minggu, dengan empat pela-rian pertama ditangkap semula pada minggu lalu.

Tentera Pertahanan Israel berkata hari ini baki dua banduan telah menyerah diri ‘selepas dikepung oleh anggota keselamatan’ yang bertindak berdasarkan risikan.

Lelaki itu, Ayham Kamanji, 35 tahun dan Munadel Infeiat, 26 tahun, adalah anggota Islamic Jihad, gerakan bersenjata Islam Palestin.

Islamic Jihad memuji ‘wira-nya’ ekoran penahanan semula itu, berjanji penduduk Palestin ‘tidak akan menyerah kalah’ dalam respons terhadap ‘kekejaman dan penindasan’ Israel.

Kedua-dua mereka berjaya diberkas dalam operasi tentera bersama dengan pasukan cegah keganasan di Jenin dan ‘sedang disoal pihak berkuasa sekarang,’ menurut kenyataan tentera.

Dua lelaki lain yang didakwa membantu pelarian itu turut ditahan, tambahnya. – AFP

Banduan Palestin Mohammad Ardah (kanan) semasa menghadiri sesi mahkamah menerusi Zoom di Bandar Nazareth kelmarin. – AFP