Wednesday, February 12, 2025
31.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Israk Mikraj peristiwa penuh keajaiban

    Oleh Nurdiyanah R. –

    Bulan Rejab adalah di antara bulan-bulan yang mulia dalam Islam.

    Dalam bulan ini telah melakar satu sejarah penting bagi seluruh umat Islam iaitu berlakunya peristiwa Israk dan Mikraj Rasulullah SAW pada 27 Rejab.

    Oleh itu pada setiap menjelang hari tersebut, seluruh umat Islam meraikannya dengan rasa syukur dan gembira bagi mengingati peristiwa yang menakjubkan dan luar biasa tersebut.

    Negara Brunei Darussalam sendiri meraikannya pada setiap tahun dengan mengadakan pelbagai majlis ilmu dan keagamaan.

    ANUGERAH MUKJIZAT PESURUH ALLAH

    Sebagaimana yang kita ketahui bahawa peristiwa Israk dan Mikraj merupakan anugerah Allah SWT kepada Rasulullah SAW dan ia merupakan antara mukjizat terbesar Baginda yang tidak pernah dikurniakan kepada nabi-nabi dan rasul-rasul sebelumnya.

    Kewajipan solat melebihi kewajipan yang lain seperti puasa, zakat dan haji. Ini menunjukkan keistimewaan dan kelebihan solat berbanding ibadah-ibadah lain, dan solat juga amalan yang paling awal dihisab di akhirat kelak. – Freepik
    Peristiwa Israk Mikraj adalah suatu perjalanan agung yang mengandungi makna tersirat yang perlu digali dan dihayati oleh umat Islam meliputi kehidupan berkeluarga dan bermasyarakat bagi sama-sama menumbuhkan rasa ketakwaan terhadap Allah SWT menerusi sebahagian tanda kebesaranNya yang telah diperlihatkan kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW. – Freepik
    Gambar Freepik

    Israk dan Mikraj ialah peristiwa di mana Rasulullah SAW telah diisrakkan (diperjalankan) dari Masjidil Haram di Mekah ke Masjid Al-Aqsa di Palestin dan telah dimikrajkan (dinaikkan) ke langit menuju ke Sidratul Muntaha dalam waktu yang singkat iaitu hanya sepertiga malam.

    Jika difikirkan jarak antara Masjidil Haram dengan Masjid Al-Aqsa adalah jauh, lebih-lebih lagi naik ke langit hingga ke langit yang ketujuh.

    Dalam peristiwa tersebut Baginda juga diperlihatkan pelbagai kejadian luar biasa antaranya nikmat syurga dan azab api neraka.

    Sesungguhnya peristiwa Israk dan Mikraj telah disebut dalam Al-Quran dalam Surah Al-Israa’ ayat 1 tafsirnya:

    “Maha suci Allah yang menjalankan hambaNya (Muhammad SAW) pada malam hari dari Masjidil Haram di Mekah ke Masjid Al Aqsa yang Kami berkati sekelilingnya untuk memperlihatkan kepadanya kekuasaan dan kebesaran Kami. Sesungguhnya Allah jualah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”

    PERISTIWA AGUNG PENUH IKTIBAR

    Israk dan Mikraj merupakan sebuah peristiwa yang terkandung keajaiban dan kebesaran Allah SWT yang tidak terjangkau pada pemikiran manusia biasa.

    Berdasarkan kepada peristiwa agung ini seluruh umat Islam perlu menjadikan iktibar betapa pentingnya proses tarbiah jiwa ke arah kesempurnaan demi meningkatkan lagi ketakwaan sebagai hamba Allah.

    Antara pengajaran yang dapat kita peroleh ialah umat Islam mestilah sentiasa mewujudkan hubungan dengan Allah SWT dikala senang dan susah.

    Ini kerana hanya Allah SWT sahajalah yang mampu memberi pertolongan dan menghilangkan rasa kesedihan dan kesusahan dalam diri manusia.

    Sebagaimana kita lihat sejarah sebelum terjadi Israk dan Mikraj, Baginda benar-benar berada dalam kesedihan.

    Baginda kehilangan dua insan yang amat berjasa dan sangat dikasihi iaitu isteri Baginda, Sayidatina Khadijah dan bapa saudara Baginda iaitu Abu Talib.

    Bahkan Rasulullah SAW juga mengalami cemuhan hebat dalam usaha dakwah Baginda.

    Setelah Rasulullah SAW merasakan pergerakan dakwah di Mekah semakin sempit, Baginda meluaskan dakwah ke Taif.

    Namun penduduk Taif bukan sahaja menolak dakwah Baginda bahkan melemparkan pelbagai cacian, penghinaan dan penganiayaan terhadap Baginda.

    Dalam keadaan kesedihan yang dihadapi, maka tidak lama kemudian, Allah SWT memerintahkan Malaikat Jibril agar berlakunya Israk Mikraj sebagai pengubat dan hadiah kepada Baginda.

    Baginda telah ditimpa musibah tetapi Baginda tetap meneruskan dakwah dalam menyebarkan agama Islam.

    Ia memberi pengajaran kepada kita agar sentiasa mendekatkan diri kepada Allah SWT pada bila-bila masa, lebih-lebih lagi ketika menerima ujian yang berupa musibah dan kepayahan dan sebagainya.

    Manakala menerusi peristiwa ketika Mikraj pula, Rasulullah SAW menempuh perjalanan melalui tujuh lapisan langit, malah ke tempat lebih tinggi dari langit ketujuh itu.

    Di tempat mulia itulah, Allah SWT menyampaikan perintah mulia untuk Baginda dan umatnya, iaitu mengerjakan solat.

    Nabi mendapat perintah solat secara langsung daripada Allah SWT tanpa melalui perantaraan Malaikat Jibril.

    Pada mulanya, perintah solat wajib itu menghendaki ia dilaksanakan 50 kali sehari semalam tetapi selepas Rasulullah SAW bersoal jawab dengan Nabi Musa AS, akhirnya Baginda mendapat keringanan daripada Allah SWT untuk mengerjakan solat fardu daripada 50 kali sehari menjadi lima kali sehari semalam, namun dalam penilaian sebenar, Allah SWT tetap memberi 50 ganjaran pahala.

    Kewajipan solat melebihi kewajipan yang lain seperti puasa, zakat dan haji.

    Ini menunjukkan keistimewaan dan kelebihan solat berbanding ibadah-ibadah lain dan solat juga amalan yang paling awal dihisab di akhirat kelak.

    Semasa Israk dan Mikraj, Rasulullah SAW juga dibawa meninjau keadaan di neraka yang sekali gus menyaksikan pelbagai bentuk penyeksaan, seperti hukuman kepada pemakan riba, penzina, pengumpat yang suka memfitnah dan lain-lain lagi.

    Ini memberi iktibar supaya kita menjauhi semua perkara yang dilarang oleh Allah SWT. Jika perbuatan itulah yang dilakukan, balasan seperti itulah yang bakal diterima kelak.

    Selain itu, sewaktu Israk dan Mikraj, Allah SWT juga memperlihatkan kepada Baginda akan keagungan dan keajaiban ciptaanNya, yang sememangnya tidak pernah dibayangkan oleh manusia.

    Baginda dibawa ke sebuah tempat yang bernama Sidratul Muntaha, syurga dan lain-lain lagi. Sebagai hamba kerdil yang diciptakan untuk beribadah kepadaNya, kita wajib yakin dan percaya akan semua kekuasaan Allah SWT itu.

    Peristiwa Israk Mikraj adalah suatu perjalanan agung yang mengandungi makna tersirat yang perlu digali dan dihayati bagi menumbuhkan rasa ketakwaan terhadap Allah SWT menerusi sebahagian tanda kebesaranNya yang telah diperlihatkan kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda