Thursday, January 30, 2025
22.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Israk Mikraj suntik penghayatan beragama

    Oleh Nurdiyanah R. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 27 JAN – Dengan peristiwa Israk dan Mikraj yang kita sambut adalah diharapkan akan menjadi sebahagian suntikan dalam memperteguh penghayatan beragama yang sedia dipelajari di sekolah-sekolah, difahami dan dikaji di peringkat pengajian tinggi, didakwahkan secara meluas.

    Maka Insya-Allah semua itu dengan berkat kepimpinan bijaksana, berwawasan serta berwibawa Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam akan selayaknya menjadikan setiap individu Muslim, bahkan kita senegara yakin bahawa ajaran dan fahaman beragama yang ditanamkan melalui pendidikan formal dan tidak formal, yang seterusnya disemarakkan dengan dakwah berterusan secara meluas, telah dan akan sentiasa membekalkan generasi kita sekarang dan generasi yang akan datang menjadi individu Muslim, yang teguh berfahaman dan berpegangan agama yang betul.

    Dengan sedemikian itu yakin dan percaya terhadap diri sendiri, dapat menghadapi semua suasana dan keadaan dengan mencapai kejayaan hidup yang baik seimbang dunia dan akhirat, sebagaimana yang kita pohonkan kepada Allah SWT.

    Perkara berkenaan antara yang ditekankan oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman ketika menyampaikan sembah alu-aluan semasa berlangsungnya Majlis Sambutan Israk dan Mikraj Peringkat Negara bagi Tahun 1446 Hijrah / 2025 Masihi di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas, pagi tadi.

    Terdahulu, Yang Berhormat Pehin antara turut menyembahkan bahawa majlis sambutan berkenaan adalah dengan izin Allah SWT dan dengan berkat daulat Baginda Sultan dapat berlangsung sebagai menandakan komitmen kita senegara yang berpemerintahan beraja adalah konsisten pada 27 Rejab setiap tahun memperingati peristiwa yang bersignifikan mukjizat, iaitu Allah SWT telah mengisrakkan junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW dari Masjid Al-Haram di Mekah ke Masjid Al-Aqsa di Palestin, dan dari sana Allah SWT memikrajkan Baginda Rasulullah SAW ke Sidratul Muntaha di langit yang tinggi.

    Dalam sembah alu-aluan berkenaan, Yang Berhormat Pehin turut menyentuh seperti lazimnya negara menyambut dan meraikan hari-hari bersejarah Islam adalah untuk mengambil pengajaran dari setiap peristiwanya.

    Jelasnya, pengajaran yang terpenting dalam peristiwa Israk dan Mikraj ialah mengenai sembahyang lima waktu yang difardukan oleh Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW dan kepada kita umat Islam di semua zaman dan keadaan.

    Yang Berhormat Pehin juga antaranya menjelaskan pemilihan tema sambutan Israk dan Mikraj tahun ini dengan mengungkapkan rangkaian kata ‘Sembahyang Mencerdaskan Minda’ di mana ia selaras dengan usaha negara yang sedang menangani isu gejala mental.

    “Dalam usaha menangani isu gejala mental itu kita di Brunei memilih pendekatan yang menyepadukan usaha kerohanian dengan usaha dalam bidang saintifik. Ertinya kita tahu dan yakin bahawa dalam menangani gejala mental ibadat sembahyang adalah menjadi rawatan kerohanian untuk disepadukan dengan rawatan secara saintifik,” ujarnya.

    Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin semasa menyampaikan sembah alu-aluan pada majlis tersebut. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    ATAS & BAWAH : Antara yang hadir ke majlis sambutan tersebut. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda