Pelawak dan penyampai radio, Issey Fazlisham berkongsi berita duka apabila kediaman milik Allahyarham ibunya iaitu Asiah Haron di Kota Bharu, Kelantan musnah dijilat api baru-baru ini.
Issey atau Fazlisham Mat Husin, 35, berkata, kejadian itu membuatkan dia berasa sedih memandangkan rumah itu mempunyai pelbagai kenangan selain ia tempat dia dibesarkan.
“Rumah arwah ibu saya terbakar di Kampung Guchil Bayam, Kota Bharu, Kelantan. Memang tersangat sebak.
“Rumah tempat saya membesar. Terima kasih pasukan bomba dan penyelamat Kelantan,” katanya.
Issey berkongsi mengenai perkara itu menerusi sebuah hantaran video yang dimuat naik di Instagram miliknya pada Sabtu.
Dalam pada itu, Issey memberitahu dia kebetulan berada di Kelantan bagi menghadiri sebuah majlis dan bergegas ke lokasi kejadian sebaik sahaja menerima berita kebakaran berkenaan.
“Kebetulan saya berada di Mydin Tunjong, Kota Bharu. Dapat tahu musibah ini, saya terus ke sini,” ujarnya.
Menerusi perkongsian video yang dibuat, Issey turut menunjukkan keadaan rumah berkenaan yang hampir keseluruhannya dijilat api.
Usaha mStar untuk mendapatkan maklumat lanjut daripada Issey tidak berjaya apabila panggilan yang dibuat tidak dijawab. – Agensi