KOTA KINABALU, 6 OGOS – Istana Negeri Sabah hari ini menyangkal dakwaan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengaitkan Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin menyalah guna kuasa dan rasuah serta menerima imbuhan untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.
Setiausaha Sulit Kepada Yang Dipertua Negeri Sabah, Abinan Asli berkata demikian bagi merujuk kenyataan Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia Datuk Zulkarnain Mahdar yang membuat laporan dakwaan salah laku terhadap Juhar kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya semalam.
“Istana Negeri dengan ini menyangkal sekeras-kerasnya dakwaan yang dibuat oleh Zulkarnain Mahdar. Kenyataan tersebut adalah tidak benar dan tidak berasas sama sekali serta mengandungi niat jahat,” katanya pada sidang media di Istana Negeri Sabah, di sini, hari ini.
Abinan menjelaskan Yang Di-pertua Negeri Sabah tidak pernah menerima 33 akuan bersumpah seperti yang didakwa Zulkarnain, sebelum menandatangani pengisytiharan pembubaran DUN Sabah.
Katanya, Istana Negeri juga tidak pernah menerima permintaan secara rasmi atau tidak rasmi daripada pihak bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman untuk mengadakan perjumpaan dengan Juhar. – Bernama
