Oleh Pg Fairol RMF, Normazlina M.D, Lenna N.B
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Jun – Kemeriahan menyambut Hari Raya Aidilfitri dapat dirasai oleh seluruh rakyat dan penduduk di negara ini dengan berkunjung ke Istana Nurul Iman bagi bertemu dengan pemimpin negara dan kerabat diraja lainnya.
Seperti kelazimannya, berkunjung ke Istana Nurul Iman semasa Hari Raya Aidilfitri sudah menjadi satu tradisi yang unik di Negara Brunei Darussalam dan antara waktu yang dinanti-nantikan oleh seluruh rakyat termasuk para pelancong yang berada di negara ini.
Ia merupakan peluang yang sangat berharga dan kenangan manis dalam sejarah hidup mereka, di mana mereka diberi peluang untuk berkunjung ke Istana Nurul Iman bagi sama-sama menyembahkan ucapan Selamat Hari Raya ke hadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berserta ahli-ahli kerabat diraja lainnya.
Kunjungan ke Istana Nurul Iman itu bukan sahaja terdiri daripada orang persendirian dan ahli-ahli keluarga, bahkan ia juga turut diadakan oleh beberapa organisasi dari sektor kerajaan mahupun bukan kerajaan.

Sehubungan itu, pagi tadi, seramai 20 orang pegawai dan kakitangan dari Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) mengambil kesempatan untuk berkunjung ke Istana Nurul Iman pada hari terakhir ia dibukakan kepada orang ramai.
Turut hadir mengetuai rombongan tersebut ialah Ketua Kumpulan Perbankan Runcit BIBD, Hajah Nurul Akmar binti Haji Mohd Jaafar. Menurut Hajah Nurul Akmar, kunjungan tersebut merupakan budaya setiap tahun BIBD bagi pegawai dan kakitangan BIBD sebagai memberikan penghargaan dan menjunjung kasih kepada Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

Sementara itu, Istana Nurul Iman hari ini juga turut dikunjungi oleh seramai 437 orang warga Pusat Dakwah Islamiah (PDI) yang terdiri daripada pegawai-pegawai, kakitangan dan para mualaf seluruh negara.
Hadir mengetuai rombongan tersebut ialah Pemangku Pengarah PDI, Haji Abdul Rajid bin Haji Mohd Salleh.
Menurut beliau, kunjungan tersebut merupakan salah satu usaha PDI untuk memberikan peluang kepada para mualaf untuk menjunjung ziarah ke hadapan maj-lis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berserta ahli-ahli kerabat diraja lainnya, di samping dapat mengeratkan hubungan silaturahim.
Selain berkunjung ke istana, rombongan PDI juga berkesempatan berkunjung ke kediaman Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Setiausaha Tetap, Timbalan Setiausaha Tetap dan pengarah-pengarah di bawah Kementerian Hal Ehwal Ugama.

Manakala itu, peluang untuk berkunjung ke Istana Nurul Iman juga tidak dilepaskan oleh orang ramai. Hajah Timah binti Awang Tengah dari Kampung Pancha Delima, 78 tahun berkunjung ke Istana bersama anak dan cucunya menjelaskan bahawa kunjungan tersebut merupakan kunjungan kali pertama beliau.
Beliau turut mengongsikan kunjungannya ke istana itu mengimbau kembali kenangannya yang pernah bekerja sebagai tukang masak pada masa dahulu. Jelasnya, keadaan Istana Nurul Iman amat berbeza sekali dan lebih banyak kemudahan yang disediakan terutama kepada pengunjung-pengunjung Istana Nurul Iman.
Beliau dalam pada itu juga berharap akan dapat berkunjung ke Istana Nurul Iman pada tahun akan datang jika diberikan kesihatan dan umur yang panjang. Menurutnya lagi, ia merupakan pengalaman yang manis untuknya kerana dapat bersua muka bersama pemimpin negara serta kaum kerabat diraja lainnya.

Sementara itu, menurut Awang Mohammad Sarifulrizal yang berkunjung ke Istana Nurul Iman buat pertama kalinya pada tahun ini bersama keluarga beliau menjelaskan ia merupakan waktu yang dinanti-nantikan untuk bertemu dengan pemimpin tercinta sekali gus melahirkan rasa kesyukuran kerana dapat berkunjung ke Istana Nurul Iman pada tahun ini.
“Walaupun menunggu giliran yang agak lama, saya merasa seronok menjadi sebahagian daripada Majlis Istana Terbuka pada tahun ini. Saya dan keluarga ingin menyembahkan ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri kehadapan majlis Baginda Sultan serta kerabat diraja dan juga seluruh warga Negara Brunei Darussalam,” ucapnya.

Manakala itu, seorang pelancong daripada Amerika Syarikat, Melissa Akey, menjelaskan bahawa kunju-ngan tersebut merupakan hari keduanya selepas berkunjung dan merasai sendiri kemeriahan Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Istana Nurul Iman kelmarin.
“Saya amat terharu setelah kunjungan yang pertama kelmarin, kerana betapa Baginda Sultan dan Baginda Raja Isteri sangat prihatin terhadap rakyatnya dan begitu juga para pelancong atau pelawat yang baru berkunjung di sini. Kedatangan kami begitu dialu-alukan dan ia amat mengharukan,” jelasnya.