Saturday, April 27, 2024
24.5 C
Brunei

    -

    Istana Selangor tarik balik darjah kebesaran Najib, Rosmah

    SHAH ALAM, 12 SEPT – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan darjah kebesaran yang membawa gelaran ‘Datuk Seri’ dan ‘Datuk’ yang dikurniakan kepada bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ditarik balik dan dibatalkan berkuat kuasa hari ini.

    Setiausaha Kerajaan negeri Datuk Haris Kasim dalam kenyataan berkata penarikan Keahlian Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor (S.P.M.S.) Kelas Pertama yang membawa gelaran Datuk Seri pada 2004 dan Darjah Kebesaran Dato’ Paduka Mahkota Selangor (D.P.M.S.) Kelas Kedua yang membawa gelaran Datuk pada 1992, dibuat Baginda setelah berunding dengan Dewan Diraja Selangor.  

    Beliau berkata penarikan darjah kebesaran itu adalah berasaskan kepada sabitan dan hukuman yang dijatuhkan kepada Najib dalam kes salah guna kuasa, pecah amanah dan penggubahan wang haram ke atas dana SRC International Sdn Bhd.

    Pada 23 Ogos lepas, Mahkamah Persekutuan telah mengekalkan sabitan dan hukuman terhadap Najib yang telah diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum ini. 

    Haris berkata Sultan Selangor turut menitahkan darjah kebesaran yang membawa gelaran ‘Datin Paduka Seri’ kepada isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor ditarik balik dan dibatalkan berkuat kuasa hari ini.

    Isteri bekas perdana menteri Rosmah Mansor hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini bagi mengikuti sambungan perbicaraan berhubung kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dihadapi Najib Tun Razak. Pasangan suami isteri itu telah dilucutkan gelaran yang dikurniakan oleh Sultan Selangor. – Bernama

    Katanya Rosmah telah dikurniakan Keahlian Darjah Seri Paduka Mahkota Selangor (S.P.M.S) Kelas Pertama yang membawa gelaran Datin Paduka Seri pada 2005. 

    Haris berkata penarikan darjah itu dibuat susulan sabitan dan hukuman yang telah dijatuhkan kepada Rosmah atas tiga pertuduhan yang melibatkan kesalahan meminta dan menerima rasuah.

    Pada 1 September lepas, Mahka-mah Tinggi telah mensabitkan dan menjatuhkan hukuman terhadap Rosmah atas semua pertuduhan yang dihadapinya.

    Dalam kenyataan yang sama, Haris berkata darjah kebesaran yang membawa gelaran Datuk kepada seorang lagi individu, Mohd Arif Ab Rahman juga ditarik balik dan dibatalkan berkuat kuasa hari ini.

    Katanya kesemua darjah kebesaran itu diperintahkan Sultan Selangor untuk ditarik balik dan dibatalkan atas sabitan dan hukuman yang dijatuhkan kepada beliau atas tuduhan rasuah. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    PM Jepun akan lawat Perancis, Brazil dan Paraguay

    TOKYO, 26 APRIL - Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida akan melawat Perancis, Brazil dan Paraguay minggu depan ketika negaranya berusaha untuk meningkatkan hubungan dengan...