BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Jun – Menjunjung titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Grand Chamberlain, Yang Amat Mulia Pengiran Penggawa Laila Bentara Istiadat Diraja Dalam Istana Pengiran Haji Alauddin mengumumkan bahawa sempena Hari Raya Aidilfitri tahun 1439 Hijrah, Istana Nurul Iman akan dibuka selama tiga hari mulai Hari Raya kedua.
Sepanjang tiga hari itu, Istana Nurul Iman akan dibuka dari jam 10 pagi hingga 12 tengah hari dan 2 petang hingga 4 petang bagi membolehkan orang ramai mengadap dan menjunjung ziarah kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia.