Mendiang aktor Lee Sun-kyun sempat meninggalkan sepucuk surat kepada isterinya sebelum menghilangkan diri dan ditemui sudah tidak bernyawa pada Rabu.
Memetik dari mStar, pelakon Jeon Hye Jin mendedahkan isi kandungan surat itu menyebut Sun-kyun sudah tidak mampu menanggung beban selain menghabiskan nyawa adalah satu-satunya cara menyelesaikan semua masalah dihadapi.
Mendiang dipercayai merujuk kepada beban kewangan terpaksa ditanggung selepas semua iklan dan tawaran lakonan diterimanya dibatalkan susulan dakwaan terlibat dalam penyalahgunaan dadah.
“Saya tidak dapat menahannya lagi. Saya fikir ini adalah satu-satunya jalan keluar. Saya minta maaf,” tulis mendiang.
Dalam pada itu, Hye Jin memberitahu sebaik sahaja membaca surat tersebut, beliau terus membuat laporan polis berhubung kehilangan suaminya kerana bimbang sesuatu akan berlaku kepadanya.
Kebimbangan aktres itu bagaimanapun menjadi nyata apabila mendiang ditemui sudah tidak bernyawa dalam sebuah kereta di Seoul, Korea Selatan.
Polis turut menemui mayat pelakon filem Parasite tersebut di tempat duduk penumpang bersama briket arang dipercayai digunakan untuk menamatkan nyawanya.
Sejak beberapa bulan lalu, Sun-kyun sudah tiga kali dipanggil pihak berkuasa bagi membantu siasatan berhubung dakwaan menggunakan dadah.
Pelakon itu bagaimanapun menyangkal tuduhan mengambil sebarang dadah sebaliknya diberi ubat tidur tanpa pengetahuannya.
Mendiang disyaki menyalahgunakan dadah di sebuah rumah seorang pelayan wanita yang bekerja di sebuah bar mewah di Gangnam pada awal tahun ini.
Hasil ujian air kencing yang dilakukan mendapati mendiang negatif dadah dalam dua saringan dilakukan terhadapnya.
Sun-kyun dan Hye Jin mendirikan rumah tangga pada 23 Mei 2009 selepas tujuh tahun menjalinkan hubungan cinta.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua cahaya mata lelaki berusia 14 dan 12 tahun. – Agensi